SEJAK semalam media sosial kecoh selepas seorang wanita membuat ciapan di Twitter meluahkan kekesalannya mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika melalui satu sekatan jalan raya (SJR), pada Sabtu pagi. Susulan dakwaan yang tular itu, anggota polis berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan wanita tersebut pada hari yang sama. Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, laporan tersebut dibuat pada pukul 1.35 petang hari yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: “You perah sendiri ke susu tu?” - Selepas lebih sebulan, gadis bertudung labuh pula dakwa jadi mangsa gangguan seksual polis ketika lalu SJR... dah macam tak bertamadun! Menurut Mohd Fadzil, wanita berkenaan turut membuat laporan polis pada pukul 6 petang dan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual apabila seorang anggota polis mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan semasa lalu di SJR di Putrajaya, pagi Sabtu. "Menurut wanita tersebut, apabila beliau memaklumkan sedang dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk minuman susu, beliau telah disoal dengan ayat 'You perah sendiri ke susu tu?' yang menyebabkan rasa tidak selesa dan tidak puas hati sehingga beliau memuatnaik hantaran di aplikasi Twitter. "Siasatan awal dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan pegawai polis yang menafikan telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa menyoal wanita tersebut. "Sebaliknya, beliau bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat 'You buat sendiri ke susu tu?. Petugas lain termasuk Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Ujarnya, polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak. "Walau bagaimanapun, siasatan akan diteruskan setelah mendapat Perintah Penyiasat (O.T.I) daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara sebagaimana peruntukan Undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah. "Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya," ujarnya. Mohd Fadzil dalam pada itu turut memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan yang telus tanpa sebarang kompromi. "Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!