FASA kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula 19 April ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Fasa kedua tersebut akan membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik. Menurut Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, fasa kedua program vaksinasi mensasarkan sembilan juta orang, dan daripada jumlah itu, dua juta telah mendaftar. ARTIKEL BERKAITAN: KJ jadi individu pertama disuntik vaksin Sinovac Katanya, mereka yang tersenarai akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 5 April ini atau dua minggu sebelum tempoh suntikan. "Kita akan mulakan fasa ini pada 19 April dan akan mula beri temujanji kepada mereka yang terpilih mulai 5 April ini. "Kita akan bagi notis dua minggu sebelum temujanji. Keutamaan diberikan kepada golongan warga emas, OKU dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya, pada Isnin. Khairy menambah bahawa usaha untuk mendorong lebih ramai orang yang disasarkan dalam fasa dua untuk mendaftar akan meliputi komunikasi dari pintu ke pintu yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta pekerja kesihatan dari hospital kerajaan dan swasta. "Ketika mereka bertemu dengan pesakit untuk pemeriksaan berjadual, terutama mereka yang menderita penyakit kronik, para doktor akan mengesyorkan kepada pesakit mereka untuk mendaftar vaksin. Kami menggunakan setiap saluran yang mungkin untuk meningkatkan strategi komunikasi," katanya. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!