DETIK gembira sebuah keluarga mengadakan majlis pertunangan bertukar cemas apabila rumah mereka musnah dijilat api. Memetik laporan Berita Harian, kejadian berlaku di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong, Batu Pahat kira-kira pukul 1.20 petang Ahad. Difahamkan, kebakaran berlaku sejam sebelum majlis yang dijangka berlangsung pada pukul 2.30 petang. Kejadian itu mengakibatkan barang hantaran pertunangan dan harta benda rumah terbabit musnah. Ketika kejadian, kira-kira 100 ahli keluarga mangsa berada di rumah berkenaan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Saksi kejadian, yang juga jurugambar bagi merakamkan majlis pertunangan itu, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata dia yang tiba lebih awal melihat api mulai marak dan merebak dengan pantas ke seluruh rumah. "Keadaan ketika itu agak kelam-kabut kerana ahli keluarga tidak sempat menyelamatkan barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen penting. "Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana mahu menyelamatkan kereta berhampiran serta ada yang cedera terpijak kaca," katanya. Dipercayai kebakaran itu berlaku akibat litar pintas di bahagian dalam rumah dan keadaan rumah yang separa batu dan kayu menyebabkan rumah berkenaan cepat terbakar. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kebakaran hampir 80 peratus berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal dan sebuah motosikal turut musnah dijilat api. Difahamkan, majlis pertunangan tetap dilangsungkan dengan majlis ringkas di rumah salah seorang saudara mangsa. Terdahulu, video ketika rumah berkenaan dijilat api tular di media media sosial sejak petang Ahad. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!