"SAYA cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100 peratus ia tulen" Demikian kata bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai rakaman audio perbualan antara dua individu mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial sejak Rabu. Annuar berkata sebagai individu yang dekat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara di dalam audio tersebut bukanlah perkara rumit. ARTIKEL BERKAITAN: Gempar klip audio didakwa mirip suara Zahid, Anwar tersebar Menurutnya, kandungan percakapan antara kedua-dua individu berkenaan juga amat mengecewakannya. "Saya bukan mempersoal kebebasan bercakap tetapi 'content' percakapan itu jelas menunjukkan ada perancangan, kebersamaan dan perbincangan yang bercanggah dengan dasar 'No Anwar, No DAP' yang diputuskan parti," katanya pada sidang akhbar pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di kementeriannya di Putrajaya pada Khamis Annuar juga berkata beliau yakin sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara Umno dan PKR. Tambahnya, hubungan itu boleh dilihat termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun dinafikan. "Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen. "Copy paste (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir. "Sekarang keluar pula rakaman audio," katanya lagi. Terdahulu, satu rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di laman sosial, sekaligus menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak mengenai spekulasi wujudnya kerjasama antara PKR dan Umno. Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 itu merupakan panggilan telefon mirip suara Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020. Ahmad Zahid bagaimanapun menyangkal dakwaan penglibatannya di dalam rakaman suara tersebut. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!