suria

Hangat di media sosial, polis akhirnya buka siasatan isu borang rentas negeri kosong sudah ditandatangani

Superintendan Hanyan Ramlan berkata, borang rentas negeri itu adalah dari Balai Polis Chukai. (Foto: Sinar Harian)

ISU rentas negeri masih lagi menjadi perbualan hangat sehingga ke hari ini.

Malah, ada sahaja isu yang timbul, termasuklah individu yang menyalahgunakan borang berkenaan untuk tujuan yang bukan-bukan.

Terbaharu, polis membuka kertas siasatan berhubung isu borang rentas negeri kosong yang sudah ditandatangani dan dicop oleh pihak berkuasa berkenaan seperti tular di laman sosial sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, borang rentas negeri itu adalah dari Balai Polis Chukai, namun berlaku penipuan pada tandatangan pegawai polis terbabit.

"Siasatan awal dijalankan mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua Polis Balai Polis Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Hanyan, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud hendak menipu dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

Beliau berkata, borang rentas negeri itu diberikan kepada seorang wanita untuk ke Kuala Lumpur.

"Wanita ini mahu ke sana bagi menghadiri temu duga mendapatkan pekerjaan yang dijadualkan pada 8 April," katanya.

Pada Rabu, tular kemas kini di media sosial berhubung borang rentas negeri kosong bertandatangan dan cop dari Balai Polis Chukai dengan ayat 'Dapat info berbaru ialah 'approve' dulu baru isi 'form'. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain