suria

Keputusan sama ada boleh rentas negeri sempena Aidilfitri, ini jawab Ismail Sabri

Sekatan jalan raya dilakukan di lebuh raya. gambar hiasan foto ART CHEN/The Star

KEMENTERIAN Kesihatan akan memutuskan sama ada membenarkan atau tidak bagi perjalanan rentas negeri semasa musim Hari Raya Aidilfitri akan datang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Semua keputusan untuk membenarkan perjalanan rentas negeri berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan. Sekiranya mereka menganggapnya tidak sesuai kerana berisiko tinggi, kita tidak akan membenarkannya," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa berikutan jumlah kes Covid-19 masih tinggi.

"Kita sekarang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sebelum ini, jumlahnya adalah kira-kira 300 kes setiap hari.

"Kita memberikan sedikit kelonggaran bagi membantu memulihkan semula ekonomi. Apapun, kita perlu tunggu keputusan Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Jumaat.

Beliau turut menambah bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba untuk merentas negeri dengan 'permit rentas negeri yang palsu' menjelang musim perayaan itu.

"Jika anda beli (permit) di luar dengan kelulusan polis, ia adalah salah. Polis tidak pernah mengeluarkannya seperti itu," katanya.

Ismail Sabri berkata, mereka yang mahu merentas negeri perlu memohon kebenaran di balai polis berdekatan, sambil memberi amaran bahawa tindakan juga akan diambil kepada sesiapa yang didapati menjual dokumen perjalanan palsu.

"Bagaimana mereka dapat memberikan persetujuan kosong tanpa melalui proses saringan yang sebenarnya?

"Pihak berkuasa perlu mengetahui sebab mengapa seseorang individu itu mahu melakukan perjalanan rentas negeri," katanya. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain