ISU rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hangat diperkatakan beberapa hari kebelakangan ini. Jika sebelum ini kedua-dua pemimpin itu tampil menafikan perkara berkenaan, terbaharu Anwar menegaskan jika audio itu benar sekalipun, ia tidak dapat dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah. Tegasnya lagi, sebaliknya perbuatan mengintip adalah jelas sebagai jenayah yang sebenar. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya cuba dengar 10 kali malam tadi” - Annuar dakwa rakaman suara mirip Anwar, Zahid tulen ARTIKEL BERKAITAN: “Berada dalam PKR selama 20 tahun, saya percaya itu suara Anwar” - Zuraida "Kalau betul... apa masalahnya? Ada khianat di situ? Ada rasuah di situ? Ada kesalahan jenayah? Tidak ada. "Apa isu dia? Mengeluarkan, mengintip satu rakaman, itu satu kesalahan. Siapa yang lakukan kalau ia benar tulen?," katanya ketika menjawab soalan Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff pada sesi Program Minda TV: Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) secara dalam talian di Facebook MPN pada Sabtu. Ketua Pembangkang itu dalam masa yang sama menyifatkan isu berkenaan hanya sebagai satu siri serangan politik. "Apakah benar kerajaan ini, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi riuh rendah? Tak pernah dengar audio dan video yang lain? Banyak. Nampaknya, sekarang ini modal politiknya adalah untuk hebahkan Anwar-Zahid,"katanya lagi. Terdahulu, satu rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di laman sosial, sekaligus menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak mengenai spekulasi wujudnya kerjasama antara PKR dan Umno. Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 itu merupakan panggilan telefon mirip suara Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020. Ahmad Zahid dan Anwar sebelum ini menafikan dakwaan itu. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!