suria

Azmin yakin suara dalam audio tular milik Anwar - “Saya lama berkhidmat dengannya...”

Azmin yakin salah satu suara dalam audio tersebut adalah milik bekas bosnya.

SELEPAS Datuk Zuraida Kamaruddin, terbaharu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut senada dan mendakwa rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah sahih.

Menurut Azmin, dia yakin salah satu suara di dalam rakaman audio itu adalah milik bekas bosnya memandangkan pernah berkhidmat dalam tempoh yang lama bersama Anwar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berada dalam PKR selama 20 tahun, saya percaya itu suara Anwar” - Zuraida

"Saya lama berkhidmat dengan Anwar dan pernah menjadi Setiausaha Sulit beliau.

"Saya yakin itu adalah rakaman sahih, yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan.

"Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing," katanya selepas menghadiri Program Semarak Malaysia Prihatin dan Penyampaian Sumbangan Ihya' Ramadan Parlimen Gombak pada Ahad.

"Saya menganggap ini sebagai tindakan pengkhianatan terbesar yang dilakukan oleh Anwar, bukan hanya kepada partinya sendiri, tetapi juga kepada parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) kerana dia secara diam-diam mengadakan rundingan," katanya lagi.

Terdahulu, satu rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di laman sosial, sekaligus menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak mengenai spekulasi wujudnya kerjasama antara PKR dan Umno.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 itu merupakan panggilan telefon mirip suara Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020.

Ahmad Zahid dan Anwar berkata akan membuat laporan polis dengan mendakwa ia mungkin dipalsukan, malah menyifatkannya sebagai konspirasi politik. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain