suria

SOP makin ketat! Rentas negeri yang lulus hanya Isnin hingga Khamis kecuali 3 sebab dibenarkan, aturan terpakai hingga selepas Aidilfitri

Sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa. foto ART CHEN/The Star

PROSEDUR operasi standard (SOP) untuk pergerakan rentas negeri kini semakin diperketatkan oleh pihak berkuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak akan diluluskan, namun ia tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

"Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian yang hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja; perubatan; pendidikan serta pasangan jarak jauh," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Acryl Sani berkata, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis jamuan adalah dilarang.

"Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani berkata, semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan digerakkan ke semua lokasi bazar Ramadan dan pasar malam bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, kita akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain