suria

Agrobank bersama mStar kongsi nikmat hargai pengorbanan frontliners, agih sumbangan di PKRC Maeps

Majlis penyerahan sumbangan Kongsi Nikmat Agrobank bersama mStar 2021 disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (kanan).

PANDEMIK Covid-19 masih belum selesai dengan jumlah kes yang semakin meningkat sehingga ke hari ini.

Dengan itu, petugas barisan hadapan negara tidak pernah berhenti untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

Sebagai tanda penghargaan pengorbanan mereka, pihak Agrobank dengan kerjasama Star Media Group khususnya portal berbahasa Melayu syarikat berkenaan, mStar mengadakan program Kongsi Nikmat 2021 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Maeps, Serdang.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan rakan media dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).



Wakil petugas barisan hadapan dari jabatan dan agensi kerajaan yang menerima sumbangan Kongsi Nikmat 2021.

“Sumbangan pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada frontliners yang berkhidmat. Ia juga pendekatan yang berbeza bagi kami kerana sebelum ini kami hanya memberi sumbangan bersama dengan agensi perbankan lain.

“Walaupun makan dan minum mereka disediakan ketika berkhidmat di sini, kami harap agar sumbangan yang diberikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat menghiburkan dan menghilangkan penat lelah mereka ketika bertugas, ” katanyanya pada majlis berkenaan yang berlangsung Jumaat petang.

Selain Khadijah, turut bersama dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, Pengarah PKRC, Dr Shahabudin Ibrahim dan Pengarang Kanan mStar, Niezam Abdullah.



Pegawai Penyelaras APM, Kapten (PA) Ruslan Lok (kiri) menerima sumbangan daripada Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.

Hasil sumbangan telah diagihkan kepada sembilan jabatan dan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan Selangor dan Pejabat Setiausha Kerajaan Negeri Selangor.

Salah seorang petugas barisan hadapan yang menerima sumbangan tersebut adalah Pegawai Penyelaras APM, Kapten (PA) Ruslan Lok, berkata dia berterima kasih kerana pelbagai agensi tampil untuk memberi sumbangan kepada mereka sepanjang berkhidmat di sini.

Katanya, nilai pemberian tidak penting tapi yang utama ia sedikit sebanyak dapat menaikkan moral dan semangat petugas untuk meneruskan perjuangan mereka di PKRC.



Hafiz Hamidun (tengah) bersama petugas barisan hadapan ketika majlis Kongsi Nikmat 2021.

Pada program berkenaan, selebriti Hafiz Hamidun dijemput untuk memimpin bacaan doa bagi memberkati majlis dan melancarkan urusan petugas barisan hadapan di pusat berkenaan sebelum penyerahan sumbangan dilakukan kepada kumpulan sasar.

Menerusi program Kongsi Nikmat juga, kerjasama kedua-dua pihak akan diteruskan di Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan 200 penuntut pada 3 Mei ini.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain