KHAIRY Jamaluddin berkata, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Menerusi sidang media secara virtual, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata, dakwaan kerajaan Pusat menyekat pembelian vaksin oleh kerajaan Pulau Pinang seperti dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Katanya, usaha mana-mana pihak untuk mendapatkan vaksin amat dialu-alukan tetapi ia adalah barang kawalan dan ia tidak mudah dibeli umpama menempah kemeja-T di platform dagangan online. "Vaksin perlukan kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA). Jadi, jangan mempolitikkan program imunisasi kebangsaan. "Dakwaan ada pihak mahu menyumbang vaksin kepada Pulau Pinang juga suatu penipuan kerana pemeriksaan telah dijalankan termasuk menghubungi pembekal vaksin di China. "Bagaimanapun jika kerajaan Pulau Pinang boleh membuktikan tawaran Yong Chee Kong itu sahih, saya akan berikan kelulusan serta merta untuk vaksin itu dibawa masuk ke negara ini," katanya. Khairy juga berkata, setakat ini pihaknya telah memberi kerjasama sebaik mungkin kepada semua negeri termasuk Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak. "Seperti kenyataan saya sebelum ini, vaksin untuk program imunisasi kebangsaan perlu menjadi keutamaan dan setakat ini jumlahnya mencukupi dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini," katanya. - The Star