suria

Padah ziarah Aidilfitri... bekas Adun Jabi, 3 tetamu dikompaun RM8,000

Tular empat keping gambar memaparkan beberapa individu termasuk kanak-kanak menikmati juadah di kediaman bekas Adun Jabi itu.

SUSULAN kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana aktiviti ziarah pada Aidilfitri, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar serta tiga tetamu dikompaun RM8,000.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi berkata, Mohd Iskandar bersama tiga yang lain hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada pukul 10 pagi Rabu untuk menerima tawaran kompaun.

Katanya, setiap seorang berdepan kompaun sebanyak RM2,000 termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) berusia 40 tahun.

Pihak polis sebelum ini membuka kertas siasatan pada Isnin berhubung dakwaan Mohd Iskandar mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya pada 1 Syawal.

Tindakan itu diambil susulan tular empat keping gambar memaparkan beberapa individu termasuk kanak-kanak menikmati juadah di kediaman bekas ADUN Jabi itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sementara itu, Mohd Iskandar menerusi laman Instagramnya berkata, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Besut bagi mengurangkan nilai kompaun yang dikenakan.

Katanya, rayuan itu akan dikemukakan memandangkan dua daripada tiga tetamunya itu adalah golongan buta huruf dan tiada pendapatan manakala seorang lagi hanya bekerja sebagai buruh binaan.

"Kesemua ini adalah jiran dan kawan saya sejak kecil, Jusoh yang berusia 51 tahun tidak tahu menulis dan membaca begitu juga Suhaimi, 40, yang sudah tidak bekerja kerana patah lima jari kaki dalam kemalangan Ramadan lalu.

"Sebenarnya tiada sebarang penganjuran rumah terbuka sebagaimana ditularkan. Sebagai tuan rumah, saya tidak sampai hati menghalang mereka hadir tanpa dijemput," katanya. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain