suria

Covid-19 ragut nyawa 3 beranak dalam 3 hari

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengucapkan takziah kepada Siti Nurul Hawana dan semua ahli keluarganya atas kehilangan tiga orang tersayang.

BUKAN seorang tetapi tiga sekali gus termasuk kedua ibu bapanya pergi selamanya akibat Covid-19.

Demikian dugaan yang dilalui seorang anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran kehilangan ibu bapa dan adik bongsunya yang dijangkiti virus berbahaya itu.

Ibu Siti Nurul Hawana, Hasminah Parmin, 57, disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada jam 4 pagi, Jumaat lalu manakala bapanya, Amran Sadon, 56, meninggal dunia di hospital sama enam jam kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah positif Covid-19 dibawa ke Maeps 1 Syawal... anak menangis abah usahakan sesuatu tak dijangka dari dalam bas cermin gelap

Kemudian, Siti Nurul Hawana menerima pula berita kematian adik bongsunya Muhammad Luqman Idham Amran di Hospital Sungai Buloh, pada jam 6 pagi, Ahad.

"Saya reda dengan ketentuanNya dan menganggap kematian ibu dan bapa saya pada Jumaat sebagai hari yang baik.

"Hari ini pula, saya kehilangan adik bongsu, saya berdoa semoga roh ketiga-tiga ahli keluarga saya ini ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pada masa ini, adik iparnya dan anak buahnya yang juga seorang bayi disahkan positif dan sedang menjalani kuarantin di rumah.

Siti Nurul Hawana juga memaklumkan dia telah mengambil vaksin Covid-19 dengan dos kedua pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, ketika dihubungi turut mengucapkan takziah kepada Siti Nurul Hawana dan semua ahli keluarganya atas kehilangan tiga orang tersayang dalam tempoh tiga hari.

"Saya ingin sampaikan takziah kepada keluarga Siti Nurul Hawana dan saya mahu tegaskan kepada orang ramai bahawa dalam keadaan genting seperti ini kami (polis) juga turut kehilangan ahli keluarga tercinta akibat pandemik Covid-19

"Meskipun dalam keadaan tertekan akibat ada ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19, kita masih menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara khususnya pada masa pandemik ini," katanya.

Eng Lai berharap supaya masyarakat terus kekal mematuhi arahan yang ditetapkan seperti duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dihindarkan.

Pada Jumaat, Eng Lai turut menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurul Hawana di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. - SinarHarian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Sentul, polis, Covid-19, PPUKM

Artikel Lain