suria

Polis jawab foto sesak luar biasa di Plaza Tol Gombak, suami nak jumpa isteri diarah patah balik sebab bawa rakan

Anggota polis melakukan pemeriksaan dengan terperinci semua kenderaan yang melalui SJR di Plaza Tol Gombak. Gambar hiasan

HAMPIR semua pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan berhampiran Plaza Tol Gombak pada Sabtu (29 Mei) pagi mempunyai alasan dan kebenaran yang sah untuk merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata kesesakan sepanjang 1 kilometer (km) hingga 2km itu berlaku antara jam 9 pagi hingga tengah hari

"Anggota polis melakukan pemeriksaan dengan terperinci semua kenderaan yang melalui sekatan jalan raya," katanya kepada pemberita di sekatan jalan berhampiran Plaza Tol Gombak pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Polis kesan taktik guna pas kerja untuk balik kampung

Gambar kesesakan di sekatan jalan raya itu tular di media sosial dengan tanggapan ramai pemandu kenderaan cuba meninggalkan Lembah Klang sebelum pelaksanaan 'total lockdown' yang bermula Selasa (1 Jun).

"Dakwaan itu tidak benar setakat ini, sebahagian besar pemandu kenderaan mempunyai alasan dan kebenaran yang sah untuk melakukan perjalanan," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagaimanapun, polis telah mengarahkan 14 pemandu kenderaan untuk berpatah balik kerana mereka tidak mempunyai alasan yang sah untuk melakukan perjalanan.

"Ada yang mempunyai permit polis tetapi alasan yang diberikan tidak meyakinkan dan tidak boleh dipercayai.

"Sebagai contoh, ada pasangan yang mempunyai permit ke Pahang untuk perkahwinan mereka tetapi tidak disebutkan bila perkahwinan itu akan berlangsung dan mereka gagal memberikan bukti tambahan. Kami menyuruh mereka berpatah balik.

"Ada individu membuat perjalanan untuk berjumpa isterinya kerana pasangan jarak jauh diizinkan. Namun, dia bawa rakan yang mana dia seharusnya pergi sendirian. Dia juga diminta untuk berpatah balik," tambahnya.

Arifai yang berada di lokasi untuk mengawasi operasi berkata lalu lintas lancar kira-kira jam 1 tengah hari.

"Kami hanya membenarkan mereka melakukan perjalanan antara negeri untuk beberapa alasan termasuk kecemasan, pekerjaan, perubatan dan pasangan jarak jauh," tambahnya.

Arifai berkata beliau akan terus akan memantau keadaan.

"Kami berharap masyarakat dapat menahan diri daripada keluar jika mereka tidak memiliki alasan mendesak untuk melakukannya. Tujuan kami adalah untuk mengekang penyebaran Covid-19," tambahnya.

Mengenai total lockdown pada Selasa, Arifai berkata polis Gombak akan meningkatkan sekatan jalan raya dan operasi pasukan pematuhan di daerah ini. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain