KETIKA memperjuangkan isu pengurusan jenazah dan tanah perkuburan khususnya melibatkan jenazah pesakit Covid-19, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berdepan pelbagai dugaan. Terkini beliau baru sahaja menerima keputusan ujian swab apabila disahkan positif Covid-19. Perkara itu disahkan oleh beliau menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar, pagi Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: "Tuanku sangat tak berkenan" - Sultan Selangor dukacita tindakan tanah kubur hanya utamakan jenazah kariah, pesakit bukan Covid-19 ARTIKEL BERKAITAN: Kebumi mayat ikut 'office hours', perlu patuh kuota harian... jenazah pesakit Covid-19 lewat dikebumi lebih 24 jam - "Kita rayu sana sini, kubur keenam baru terima..." Menerusi mesej itu, Muhammad Rafieudin yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie menyuarakan rasa syukur apabila isu pengurusan jenazah yang disebabkan oleh kuota jenazah telah penuh, tidak terima jenazah di luar kariah dan waktu operasi pengebumian yang terhad mendapat perhatian termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. "Alhamdulillah, saya pun dah boleh rehat dulu. Baru disahkan positif Covid-19 pagi ini," ujarnya secara ringkas. Menerusi posting terbaharu di halaman Facebook beliau pagi Jumaat, Ustaz Rafie memaklumkan beliau disahkan positif Covid-19 pagi Jumaat selepas menjalani ujian swab. "Pagi ini dukacita dimaklumkan saya mendapat keputusan 'swab test' mengatakan saya positif Covid-19. "Ia susulan kondisi kesihatan badan saya kurang stabil dengan peningkatan suhu badan, rasa sakit urat badan dan kepala. Badan lemah tidak bermaya, selera makan berkurangan. Mohon semua doakan saya. "Allah ingin beri saya rehat. Siang malam memperjuangkan isu pengurusan jenazah dan tanah perkuburan, syukur mendapat perhatian pihak berwajib termasuklah DYMM Sultan Selangor, ” tulisnya. Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak dan menasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah jangkitan Covid-19. "Mohon maaf kepada semua atas kekurangan, salah silap terkasar bahasa, mohon halalkan makan minum dan jika ada hutang yang masih belum saya jelaskan tuntutlah segera dengan saya selagi hayat masih ada ini. "Jaga diri semua. Kita belum menang dan kita juga belum kalah. Saya ingin berehat dulu. Teruskan perjuangan saya walaupun seandainya selepas ini saya tiada," katanya. Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan pihak pengurusan sesetengah tanah perkuburan yang mengenakan syarat-syarat yang tidak berlandaskan hukum bagi urusan pengebumian. Perkara itu disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi mStar bagi mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan ada sesetengah tanah kubur di negeri berkenaan hanya mengutamakan ahli kariah dan pesakit bukan Covid-19. "Tuanku sangat tidak berkenan terutama sekali dalam keadaan sekarang (penularan Covid-19), masih ada yang nak tentukan syarat ahli kariah atau mesti penyakit biasa. Ini memang tak boleh," katanya. Baru-baru ini, mStar melaporkan isu kelewatan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Lembah Klang yang berlaku disebabkan penetapan kuota yang terhad bagi urusan pengebumian jenazah pesakit covid-19, sebagaimana yang didedahkan oleh Ustaz Rafie. Sesetengah tanah perkuburan juga didakwa memilih untuk mengutamakan ahli kariahnya hingga mengakibatkan jenazah pesakit Covid-19 hanya dapat dikebumikan selepas lebih 24 jam. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!