SIAPA yang tidak sedih ketika berdepan saat kehilangan orang tersayang, dan ditimpa dugaan berganda apabila urusan pengebumian jenazah mengalami masalah. Begitulah yang terpaksa dihadapi seorang waris apabila jenazah datuk saudaranya yang meninggal dunia akibat Covid-19 lewat dikebumikan. Kelewatan lebih 24 jam itu membabitkan beberapa tanah perkuburan di Lembah Klang yang 'menolak' untuk mengebumikan jenazah atas faktor kuota dan luar kariah. ARTIKEL BERKAITAN: Kebumi mayat ikut 'office hours', perlu patuh kuota harian... jenazah pesakit Covid-19 lewat dikebumi lebih 24 jam - "Kita rayu sana sini, kubur keenam baru terima..." ARTIKEL BERKAITAN: Jais sedar ada kubur tolak jenazah pesakit Covid-19... beri alasan 'kuota, utamakan kariah' - "Yang mati sekarang perlu diselesaikan" ARTIKEL BERKAITAN: "Terima, sempurnakan sampai habis" - Jais libatkan lebih banyak tanah perkuburan, tambah petugas elak kejadian 'tolak' jenazah pesakit Covid-19 berulang Cucu saudara itu, Shahrul Hafis Said, 31, berkata, datuk saudaranya, Allahyarham Hawari Sulaimi yang berstatus pemastautin tetap (PR), meninggal dunia di Ampang, Selangor, Ahad lalu pada usia 61 tahun. "Walaupun berstatus PR, arwah atuk telah berpuluh tahun menetap di Ampang. Saya sendiri telah dibesarkan oleh arwah sehingga usia saya 10 tahun. "Kita faham kalau tanah-tanah kubur di kawasan sekitar dah penuh, tapi ada tanah kubur lain yang lebih besar masih tak terima jenazah atuk sebab dah cukup kuota pula. "Bila ditanya oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) yang membantu menguruskan jenazah atuk, pengurusan kubur-kubur berkenaan timbulkan isu kuota atau luar kariah. "Kalau ada kematian sudah tentu sesiapapun nak ia dipercepatkan dan mudah. Takkan nak kena tanam kat tepi rumah kot, lagilah tak masuk akal," katanya kepada mStar. Petugas memakai PPE ketika menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. -gambat hiasan foto FB SJPM Hafis berkata, daripada enam tanah perkuburan yang dimohon termasuk satu di Ampang, pada awalnya hanya satu di USJ, Subang Jaya yang menerima jenazah untuk dikebumikan. "Saya kena fikir keadaan nenek yang juga warga emas, pakcik dan makcik saya yang berada di Ampang kalau nak datang ke USJ agak jauh. Lebih-lebih lagi musim Covid-19 ni. "Kalau boleh dapat tempat dekat untuk memudahkan ahli keluarga menziarah nanti. Masa tu kami merayu kalau dapat di kawasan Gombak pun tak apalah, masih lagi dekat," ujarnya. Justeru, bapa kepada dua anak itu berasa amat sedih dan terkilan dengan kejadian yang berlaku sehingga merumitkan urusan jenazah datuk saudaranya. "Rasa nak marah pun ada, sampai tak boleh fikir macam mana perkara ni boleh terjadi. Adakah ia disebabkan Covid-19 atau pilih bulu, saya tak pasti. "Bagi saya, kalau orang meninggal... urusan jenazah sepatutnya dipermudahkan," katanya sambil menambah arwah datuknya pernah mengusahakan bisnes buah di Ampang. Shahrul Hafis Said. Bagaimanapun, Hafis amat bersyukur apabila jenazah datuk saudaranya akhirnya dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu di Gombak. "Rezeki kami dan rezeki arwah atuk kerana dipermudahkan juga sebab ada waris lain yang batal saat akhir, jadi liang lahad yang telah digali tu boleh digunakan untuk kebumikan arwah atuk. Saya rasa lega dan bersyukur sangat," katanya. Ini bukan perkara main-main. Sebab kita pun tak tahu dapat hidup sampai bila, bila-bila masa pun kita boleh mati. Jadi, soal kematian dan jenazah ini sangat penting SHAHRUL HAFIS SAID WARIS JENAZAH Sehubungan itu, Hafis berharap pihak berkuasa mengambil perhatian secara serius agar insiden yang berlaku pada jenazah datuk saudaranya tidak berulang. "Ini bukan perkara main-main. Sebab kita pun tak tahu dapat hidup sampai bila, bila-bila masa pun kita boleh mati. Jadi, soal kematian dan jenazah ini sangat penting. "Saya berharap pihak berkuasa boleh ambil tindakan, dan kena ambil tahu. Saya berharap sangat perkara seperti ini tidak berlaku kepada orang lain," katanya.Waktu pengurusan singkat Sementara itu, bagi Lina, walaupun sedih kerana tidak dapat mengebumikan ibunya pada hari yang sama, dia lega kerana akhirnya arwah ibu tetap dapat disemadikan dekat dengan ayahnya yang meninggal lima hari lebih awal. "Mak saya meninggal dunia sebelah pagi tetapi pada hari dia meninggal tu saya dimaklumkan untuk urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dah penuh, tempat lain ada tapi saya nak tempat yang sama dengan arwah ayah saya iaitu di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur/Karak. "Perasaan saya memang sedih, kita semua nak kebumikan ahli keluarga secepat mungkin tapi kita tak ada kemampuan memandangkan kita sedang berdepan dengan situasi getir, benda ni isu negara, jadi kita tidak boleh pentingkan diri dan mencari salah semata-mata," katanya. Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu di Gombak, Selangor. Menurutnya lagi, menguruskan jenazah pesakit Covid-19 bukanlah satu tugas yang mudah dan semua prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan adalah demi memastikan tidak berlakunya penularan wabak yang sudah meragut lebih 3,000 nyawa ini. "Nak uruskan jenazah Covid-19 tidak mudah, saya nak buat pengecaman arwah ayah dan mak pun saya perlu ikut SOP, kena pakai PPE (peralatan pelindung diri) untuk pastikan kita tak dijangkiti. "Lepas tu kita perlu sanitize, ada langkah-langkah yang perlu kita ikut tapi pada saya, itu bukanlah satu masalah," kata Lina yang berkesempatan menghadiri upacara pengebumian kedua ibubapanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Dia bagaimanapun mempersoalkan tindakan pihak pengurusan tanah perkuburan yang hanya membenarkan urusan pengebumian bagi jenazah bukan Covid-19 dilakukan dalam waktu singkat dari 3 petang hingga 6 petang sahaja. Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak. Foto FB Jawi Lina juga berkongsi pengalaman mengenai kesukaran untuk membuat tempahan slot kubur memandangkan pejabat urusan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah dibuka dari 8 pagi hingga pukul 4 petang. "Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) perlu jawab kenapa waktu terakhir pengebumian bagi jenazah bukan pesakit Covid-19 hanya sampai pukul 8 malam sedangkan banyak kawasan perkuburan sampai tengah malam, kalau untuk pesakit Covid-19 kita faham mungkin ada had dan masalah dari segi petugas. "Lagi satu pejabat tanah perkuburan buka pukul 8 pagi sampai 4 petang, ayah saya meninggal pagi, tapi kami kena tunggu keesokan hari untuk buat tempahan sebab pejabat dah ditutup. "Ayah saya dikebumikan keesokannya pukul 3 petang. Pada saya kalau dapat dikebumikan pagi bagus sangat," katanya. Selain kedua ibu bapanya, Lina dan suaminya juga disahkan positif Covid-19. "Kami tak tahu macam mana boleh kena, berturut-turut walaupun masing-masing tinggal di rumah berbeza, saya, suami dan menantu positif, ibu dan ayah saya yang tinggal di rumah lain pun positif, begitu juga dengan adik dan kakak bersama anak-anak mereka yang juga tinggal di rumah yang berbeza. "Kami semua sudah lebih sebulan tidak berjumpa," katanya lagi. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!