PADAH menggunakan surat rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM30, lima lelaki warga Indonesia ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara. Suspek yang dalam lingkungan usia 24 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.45 malam dalam satu pemeriksaan melibatkan sebuah bas persiaran pada Isnin. Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, pemeriksaan mendapati lima suspek tersebut bukan sahaja memiliki borang rentas negeri palsu, malah tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tampil beri keterangan isu borang rentas negeri kosong lengkap ditandatangani "Mereka dalam perjalanan dari Sungai Rengit, Johor untuk ke Kedah atas alasan kerja. Mereka mendedahkan memperoleh surat itu daripada rakannya di Johor," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat. Hasil maklumat tersebut, polis Daerah Kota Tinggi, Johor berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Suspek disyaki membuat salinan borang rentas negeri palsu ini dan menjual kepada rakan-rakan warga asing lain. "Kes disiasat di bawah Seksyen 22(d) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1993 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63," katanya. - SINAR HARIAN Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!