suria

Gempar sindiket pertaruhan haram Euro 2020... 152 ditahan, lebih RM100,000 dirampas

Penahanan dibuat menerusi serbuan yang dijalankan pihak polis dalam Ops Soga.

LEBIH 150 individu ditahan disyaki terbabit dalam pertaruhan kejohanan Bola Sepak UEFA Euro 2020, sejak 10 Jun lalu.

Ia membabitkan rampasan wang tunai kira-kira RM115,000 hasil pertaruhan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, mereka melancarkan Operasi Soga (Ops Soga) 8 dari 10 Jun hingga 13 Julai.

"Fokus utama operasi adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan pertaruhan haram bagi kejohanan itu.

"Sebanyak 107 serbuan dilakukan antara 10 Jun dan 21 Jun, dan kita telah menahan 152 individu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Abd Jalil berkata, mereka turut merampas wang taruhan berjumlah RM115,132.

"Siasatan mendapati had kredit pertaruhan juga adalah RM11,645,227 berdasarkan rekod pertaruhan individu dan sindiket yang ditemui.

"Kita juga merampas pelbagai jenis peralatan termasuk 24 komputer, 11 komputer riba, satu tablet, 166 telefon bimbit, lima mesin kira-kira, 12 modem, lapan router, dua mesin cetak, 115 kad SIM, sembilan keping jadual perlawanan Euro 2020, 43 keping catatan atau buku mengandungi catatan pertaruhan," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Beliau bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kejayaan Ops Soga 8 kerana kejohanan itu masih berbaki kira-kira 20 hari lagi.

"Modus operandi tahun ini agak berbeza daripada sebelum ini dengan kebanyakan sindiket menggunakan medium aplikasi secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Bahagian Perjudian (D7) Bukit Aman akan memperhebatkan pemantauan dan pencegahan ke atas kegiatan perjudian itu.

"Kita turut menggesa orang awam untuk tampil memberikan maklumat mengenai kegiatan tersebut," katanya. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain