suria

Momen penuh syahdu... Hampir 2 bulan di Gaza, Ebit Lew mohon maaf tinggalkan anak dan isteri - “Kemuncak perjuangan perginya ayah tercinta”

Ustaz Ebit kembali ke pangkuan keluarganya selepas hampir dua bulan berbakti di Gaza.

UMUM mengetahui pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew bersama delegasinya berlepas ke Gaza pada penghujung Mei lalu bagi melakukan misi bantuan kemanusiaan.

Jiwa dermawan yang dimilikinya mendorong pendakwah ini sanggup meninggalkan keluarga buat seketika dan merisikokan nyawa demi dakwah dan misinya di bumi bergolak berkenaan.

Hampir dua bulan lamanya berbakti di bumi asing, pendakwah ini akhirnya pulang ke pangkuan keluarga yang dirindui, sungguhpun beberapa hari lalu beliau dikejutkan dengan khabar sedih pemergian bapa tercinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Syukur! Ebit Lew tiba di Gaza diiringi tentera Mesir, kereta berperisai - “Kami team pertama di dunia dapat masuk melalui pintu Rafah selepas perang”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Ebit Lew meninggal dunia - “Ya Allah beratnya rasa ujian ini”

Ebit berkongsi momen penuh syahdu itu di Instagram miliknya, pada pagi Jumaat.

"Rindunya ya Allah. Dekat dua bulan. Ya Allah. Setiap hari perit rasa rindu. Selalu sorok rasa rindu. Menangis seorang diri saat sujud. Apakan daya inilah tuntutan perjuangan kerana Allah.

"Kemuncak perjuangan kali ini perginya ayah tercinta. Ya Allah... Rindunya bidadari dan anak-anak. Maafkan ayah wahai anak-anakku. Maafkan abang yer, bidadariku," tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Menerusi video yang dimuat naik, kelihatan Ebit yang baharu tiba di kediamannya disambut penuh girang oleh anak-anak dan isterinya sambil menangis dan berpelukan melepaskan rasa rindu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ebit dalam masa yang sama meluahkan rasa syukur kerana dapat pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga selepas menjalankan misi bantuan di Gaza.

"Ya Allah terima kasih temukan dengan bidadari dan anak-anak. Hanya air mata ubat sedikit rasa rindu. Terpaksa menangis kuat-kuat kadang masa doa. Kuatkan hati masa call dan video call.

"Ya Allah betapa sayangnya diriku pada bidadari dan anak-anakku. Sayangilah mereka. Jagakan mereka. Bersama kami didunia dan sampai syurga Firdaus. I love you sayang bidadariku. I love you anakku," tulisnya lagi.

gaza 1

Ustaz Ebit dan delegasinya menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas dan ubat-ubatan di Gaza.

Untuk rekod, Ebit dan delegasinya pada penghujung Mei lalu berlepas ke Gaza bagi menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas serta ubat-ubatan.

Pendakwah ini juga membuka Rumah Kasih Umat di Gaza yang akan menempatkan penduduk-penduduk termasuk kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal dan orang tersayang.

Menurut Ebit, beliau menyewa dua rumah untuk dijadikan rumah kebajikan yang setakat ini menempatkan 10 anak yatim, selain menjadi tempat tinggal orang susah serta tempat bagi mengadakan kelas juga aktiviti kanak-kanak.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain