suria

"Jangan kata mereka tak pandai kerja kilang atau malas"

Banyak kilang menggunakan tenaga kerja asing kerana kos yang rendah.

PENGAMBILAN lebih ramai pekerja tempatan berbanding pekerja asing dalam sektor perkilangan wajar dilaksanakan bagi membantu isu pengangguran dalam kalangan rakyat negara ini, kata pakar ekonomi.

Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, firma-firma perkilangan perlu memberi peluang kepada pekerja tempatan dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan kemudahan tempat tinggal yang selesa.

Jelas Abu Sofian, pekilang lebih gemar mengambil pekerja asing kerana kos upah mereka yang lebih murah berbanding pekerja tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO muda berjiwa besar... terkesan lihat kesusahan orang ramai ketika pandemik, Arman guna cokelat kumpul dana

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini berniaga di pasar selepas habis belajar di kolej, seumur hidup tak pernah siang ikan tapi video dikongsi raih jutaan tontonan!

"Jangan diskriminasi pekerja tempatan dengan mengatakan mereka tidak pandai melakukan pekerjaan kilang atau malas. Ada juga pekerja asing yang malas dan tidak mempunyai kemahiran.

"Sekiranya pekilang enggan mengambil warga tempatan sebagai pekerja, maka kerajaan boleh melaksanakan satu polisi yang tegas seperti menetapkan komposisi 30 hingga 40% bilangan pekerja tempatan dalam sesebuah kilang tersebut," katanya ketika dihubungi The Star.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi, Profesor Tan Dr Dr. Noor Azlan Ghazali yang mengatakan penutupan penuh sektor perkilangan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara semalam.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Malina Osman berkata gelembung kesihatan Covid-19 perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum sektor perkilangan dibenarkan beroperasi semula.

Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM itu kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membenarkan hanya sektor yang sudah menjalani vaksinasi sebanyak 40 hingga 50 peratus dibenarkan beroperasi.

"Saranan penutupan kilang adalah untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 kerana bimbang akan berlakunya lambakan bilangan pesakit di hospital.

"Jika situasi terbabit terjadi, sistem kesihatan akan lumpuh sepenuhnya," katanya.



Pakar ekonomi berharap kerajaan dapat membuat dasar agar peluang lebih banyak diberikan kepada rakyat tempatan.

Tambah Malina, negara ketika ini sedang menjalani fasa mitigasi dan seharusnya semua pihak menumpukan usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya dalam soal vaksinasi.

"Kalau ada pihak yang mahukan kilang beroperasi semula, boleh dilakukan tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Berhubung dengan persoalan sama ada pembukaan kilang akan mencetuskan isu keperluan untuk kita menyeimbangkan kesihatan dan ekonomi, saya berpendapat isu tersebut sudah tidak lagi relevan dibahaskan berikutan sistem kesihatan yang kian tertekan dengan kes aktif hampir 129,000.

"Sama ada kita buka atau tutup kilang, ia tidak memberi sebarang impak kepada angka kematian. Ini kerana, hospital kita telah melampaui paras ambang dengan angka ratusan yang meninggal dunia setiap hari," jelas beliau

Seorang lagi pakar ekonomi berkata kerajaan perlu menumpukan kepada konsep kebahagiaan isi rumah dalam jangka masa yang panjang berbanding terlalu memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi.

Menurut pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr. Barjoyai Bardai, kerajaan sewajarnya mengimbangi pendapatan dan kekayaan isi rumah supaya tidak wujud jurang ekonomi yang terlalu besar.

"Ekonomi negara sudah pesat maka sekarang ini kerajaan harus melaksanakan satu strategi pembangunan untuk mencapai kebahagiaan isi rumah.

"Selain itu, kerajaan juga perlu membantu golongan berpendapatan sederhana kerana golongan ini terdiri daripada kumpulan pekerja dan meliputi 70% populasi penduduk negara. Jika tidak dibantu, golongan ini akan terjerumus ke dalam kategori miskin tegar," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain