PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat akujanji untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai 2022, bergantung kepada situasi pandemik. Menurut Muhyiddin, cadangan itu diusul bagi membolehkan kerajaan sedia ada terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Angka kes harian terus melebihi 21,000 kes, 227 kematian direkodkan hari ini "Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai. "Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan," ujar beliau dalam Perutusan Khas pada Jumaat petang. Muhyiddin berkata dia akan menjemput semua pemimpin parti politik di luar pimpinan Perikatan Nasional untuk membincangkan cadangan kerjasama bi-partisan ini pada minggu depan. Malah, beliau juga akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat sekiranya cadangan kerjasama itu dipersetujui. "Saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan. "Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini. "Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat. "Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini. "Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara," ujar beliau lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI