suria

“Ada pihak rakus rebut kuasa...” – Muhyiddin reda berdepan hari terakhir sebagai PM

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas.

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai ikhtiar dilakukan hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekurang-kurangnya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi negara, namun tidak berhasil.

Beliau berkata demikian selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri susulan kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

"Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya," katanya pada perutusan khas, petang Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Peletakan jawatan diperkenan, Muhyiddin kini jalankan tugas sebagai caretaker PM

ARTIKEL BERKAITAN: "Terima kasih atas peluang ini..." - KJ, anggota Kabinet serah surat letak jawatan

Muhyididn yang juga yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, enam tahun lalu beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi.

"Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

"Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

"Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa," katanya,

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini selaras Perkara 40 (2)(a) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Seri Paduka hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Beliau turut memberitahu bahawa baginda berkenan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhyiddin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada tengah hari Isnin.

Pagi Isnin, Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya.

Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri, selepas dipercayai hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Umno sebelum ini menarik sokongan kepada Muhyiddin dan PN, namun sebahagian Ahli Parlimen Umno bertegas supaya kerjasama Umno-PN dikekalkan, sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan untuk PIlihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain