YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Perdana Menteri baharu yang akan dilantik agar mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat, secepat mungkin. Menerusi kenyataan pada Rabu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menitahkan sedemikian bagi membolehkan Perdana Menteri Ke-9 mengabsahkan dirinya telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. "Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berpelembagaan berteraskan keluruhan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Misi memilih PM ke-9... pemimpin parti politik tiba di Istana Negara, menghadap Agong secara serentak Baginda juga katanya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan surat akuan (SD) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat telah diberi kepercayaan untuk menjadi perdana menteri baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat perlu mengemukakan SD masing-masing kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang ini. Menurut Ahmad Fadil, baginda juga akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada Jumaat. "Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik Covid-19. "Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini. "Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera," katanya lagi Pada Selasa, Al Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti-parti politik bagi mendengar pandangan masing-masing berhubung situasi negara ketika ini terutama berkaitan calon PM ke-9. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!