SERAMAI 114 ahli Parlimen yang menandatangani akuan bersumpah (SD) dengan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis. Kesemua mereka dipanggil bagi mengesahkan pendirian mereka terhadap sokongan tersebut. Mereka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang. Menurut sumber, ahli Parlimen tersebut terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan wakil rakyat bebas yang menyokong naib presiden Umno itu sebagai perdana menteri. Terdahulu, kesemua ahli Parlimen diberi tempoh sehingga pukul 4 petang Rabu untuk mengemukakan SD bagi menamakan calon perdana menteri yang baharu. Sebanyak 114 undi yang diperoleh Ismail Sabri bermaksud bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI