suria

MyAssist MSME diakses lebih 50,000 pengunjung, jana potensi jualan RM9.7 juta

Portal MyAssist MSME mendapat sambutan menggalakkan dengan akses lebih 50,000 pengunjung.

PORTAL MyAssist MSME yang dibangunkan SME Corp Malaysia (SME Corp) mendapat sambutan menggalakkan dengan akses lebih 50,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, portal tersebut juga mencatatkan potensi jualan yang memberangsangkan berjumlah RM9.7 juta.

Menurutnya, SME Corp akan terus komited memastikan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam waktu yang mencabar akibat pandemik Covid-19.

"PKS perlu memanfaatkan perkhidmatan yang ada di dalam portal ini bagi meneruskan kelangsungan perniagaan secara norma baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Portal MyAssist MSME yang dilancarkan pada 30 Jun 2021 dibangunkan untuk membantu PKS mendapatkan khidmat nasihat perniagaan, membuat janji temu dengan kaunselor perniagaan terlatih dan menyertai sesi pemadanan pernigaaan secara dalam talian.

Rizal Nainy

Rizal Nainy.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad berkata, portal tersebut merupakan satu platform khidmat nasihat perniagaan

sehenti buat PKS.

"Ia bukan sahaja membantu PKS mengadaptasi pendigitalan bahkan juga mendapatkan khidmat nasihat serta peluang perniagaan mengikut norma baharu.

"PKS perlu berani untuk berubah terutama cara berniaga mengikut norma pasca Covid-19. PKS juga perlu cuba meningkatkan keterlihatan dalam platform dalam talian," ujar beliau.

Dalam pada itu, SME Corp akan terus menyokong rancangan pemulihan kerajaan melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan program pembangunan dan fasilitasi.

Menurut SME Corp, PKS yang tidak mengikut peredaran teknologi serta keadaan semasa akan terus ketinggalan dan mendepani cabaran yang lebih besar disebabkan pasaran yang terhad.

Maklumat lanjut berkaitan Portal MyAssist MSME boleh layari www.myassist-msme.gov.my.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain