suria

Wanita disyaki penceroboh maut, laluan LRT Stesen Sentul Timur terganggu

Rapid KLmenyediakan  bas perantara  percuma selang 30 minit untuk para penumpang. foto:AZMAN GHANI/The Star

LALUAN LRT Ampang/ Sri Petaling mengalami gangguan perkhidmatan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC kerana kejadian pencerobohan trek yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Rapid KL, perkhidmatan di laluan LRT Ampang/ Sri Petaling dari stesen LRT Putra Heights yang menuju ke stesen LRT Ampang beroperasi seperti biasa sehingga Stesen LRT Sultan Ismail. Dari sana, Rapid KLmenyediakan bas perantara percuma selang 30 minit ke Stesen LRT Sentul Timur dan sebaliknya.

Penceroboh wanita, yang masih belum dikenal pasti maut dalam kejadian itu. Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan anggota Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini berada di lokasi untuk mengumpulkan bukti bagi memulakan siasatan.

"Kami sangat sedih dengan kejadian ini dan ingin meminta maaf kepada penumpang atas gangguan perkhidmatan. Demi keselamatan semua yang terlibat, Stesen LRT Sentul Timur dan Stesen LRT PWTC akan ditutup sehingga diberitahu kelak," katanya.

Rapid KL ingin meminta orang ramai untuk berhenti berkongsi gambar kejadian bagi menghormati privasi mangsa dan mengelakkan spekulasi mengenai motif pencerobohan trek.

“Rapid KL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dilakukan. Kami juga memulakan audit komprehensif mengenai langkah-langkah keselamatan stesen kami untuk meminimumkan risiko kejadian seperti itu di masa depan,” tambahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain