suria

“Anak muda jangan risau, suara anda didengari”- Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada Ahad. Foto: Bernama

"SAYA pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini."

Demikian antara bait ayat yang diikrarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa penglibatan anak muda akan turut diberi keutamaan di dalam kerajaan pimpinannya.

Menerusi ucapan sulungnya sejak dilantik secara rasmi sebagai perdana menteri pada petang Ahad, Ismail Sabri berkata penglibatan anak muda amat diperlukan seiring usaha mencapai objektif dan fokus kerajaan dalam menangani krisis akibat pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Harus bersepakat selamatkan 'Keluarga Malaysia', fokus dua objektif utama mendepani Covid-19 - Ismail Sabri

"Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara," ujarnya dalam ucapan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menggariskan dua objektif bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan akibat pandemik Covid-19.

Objektif pertama adalah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna, manakala objektif kedua pula mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau turut menawarkan ruang kepada parti pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurutnya, semua pihak haruslah bersepakat menyelamatkan 'Keluarga Malaysia'.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain