DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob melawat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hospital pada Selasa. Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi gambar perdana menteri yang baru dilantik itu melawat Ahmad Zahid di sebuah hospital swasta di Shah Alam. "Seronok melihat hubungan dua sahabat baik, bak air dicincang tidak sesekali terputus. Walaupun kini di puncak kuasa, tetap menghormati nakhodanya"Syabas YAB Datuk Seri Ismail Sabri. Moga Allah berikan kesembuhan sempurna buat Datuk Seri Presiden Umno," tulisnya dalam posting yang dikongsi di Instagram, malam Selasa. Pada Selasa, kes membabitkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi ditangguhkan berikutan dia perlu menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang pada sebelah pagi.Kes itu ditetapkan untuk hujahan lisan selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.Bagaimanapun, sebaik saja prosiding itu bermula, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani rawatan intervensi sakit.Katanya, Ahmad Zahid mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama."Beliau sudah berada di bawah jagaan pihak hospital sejak Ahad lalu. Ahmad Zahid akan menjalani prosedur itu pagi ini di Hospital Avicenna Shah Alam," katanya.Mendengar perkara itu, pihak pendakwaan diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran, memberitahu mahkamah pihaknya masih ingin meneruskan hujahan memandangkan terlalu banyak penangguhan sudah diberikan."Bagaimanapun dalam kes ini, kehadiran tertuduh adalah perlu mengikut Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah."Pihak pendakwaan mencadangkan supaya mahkamah memanggil doktor berkenaan bagi memberikan prognosis dan menjelaskan keadaan Ahmad Zahid," katanya.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian meminta pihak pembelaan untuk memanggil doktor berkenaan bagi memberi penjelasan berhubung keadaan Ahmad Zahid.Bagaimanapun, Hisyam memaklumkan doktor berkenaan tidak dapat hadir pada prosiding hari ini memandangkan beliau mempunyai tugasan.Sequerah kemudian mengeluarkan sapina terhadap Dr Mohd Shahir Anuar untuk hadir ke mahkamah esok, pada jam 3.30 petang.Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI