KISAH suami-isteri yang makan di restoran walaupun tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 ternyata menimbulkan kemarahan ramai. Terbaharu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan menambah jumlah pasukan pemantau dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT). ARTIKEL BERKAITAN: Angka jangkitan Covid-19 kembali meningkat, Selangor kekal catat kes harian tertinggi Malah, premis perniagaan yang dikesan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membenarkan individu tidak lengkap vaksinasi makan di kedai akan diarah tutup serta-merta. Menurutnya, polis akan meningkatkan operasi pemeriksaan dan pemantauan di premis berkaitan bagi memastikan SOP PPN dipatuhi secara menyeluruh. "Saya minta masyarakat patuh SOP yang ditetapkan. Kami akan banyakkan pasukan pemantau dengan kerjasama PBT. "Jika ada keingkaran dikesan dilakukan oleh premis, kita akan pastikan premis itu ditutup untuk tindakan lanjut," pada sidang akhbar di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini pada Rabu. Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya juga membuat kajian untuk mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) secara berperingkat terutama di daerah kerana anggota yang terbabit dengan penugasan itu boleh menjalankan tugasan lain seperti pemeriksaan mengejut (snap check) di premis. Zainal Abidin berkata demikian bagi mengulas kejadian tular mengenai tindakan seorang wanita melakukan ‘eksperimen sosial’ bersama suaminya yang dimuat naik di laman sosial Facebook bagi melihat sama ada individu yang tidak memperoleh vaksin lengkap dapat memasuki premis sebagaimana kelonggaran yang diberi kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin mendapat kecaman netizen. Mengulas lanjut, Zainal Abidin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP PPN dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI