TIADA perikemanusiaan! Begitulah gambaran terhadap pelaku yang menyebabkan seorang wanita maut, dipercayai dirogol dan dibunuh. Lebih kejam, mayat mangsa disembunyikan di bawah katil di Taman Seruling Emas, Sungai Jawi di Nibong Tebal, pada pukul 7.20 malam, Sabtu. Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang perabot di Sungai Bakap dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 40 tahun itu dirogol dan diliwat sebelum dibunuh oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya. Menurut Chong Chern, kejadian itu disedari rakan mangsa yang datang ke rumahnya pada jam 3 petang kerana mempunyai janji temu dengan mangsa. "Ketika rakan mangsa berada di hadapan rumahnya, dia ternampak seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dengan menaiki motosikal. Rakannya itu kemudian menghubungi kakak mangsa bagi memaklumkan perkara itu. "Kakak mangsa telah menghubungi rakannya untuk memeriksa rumah adiknya. Ketika pemeriksaan dibuat, pintu rumah didapati terbuka sedikit, lalu rakan kakak mangsa menghubungi polis untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Katanya, rumah mangsa didapati dalam keadaan berselerak semasa polis melakukan pemeriksaan. "Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di bawah katil bilik bawah di rumah dua tingkat yang didiaminya. "Menurut salah seorang jiran mangsa, dia juga ternampak seorang lelaki telah keluar dari rumah mangsa yang menaiki motosikal jenis SYM pada petang hari kejadian," katanya. - Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI