suria

“Beri tempoh sikit lagi” - Isu rentas negeri, Khairy minta rakyat Malaysia bersabar

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta rakyat Malaysia bersabar untuk melakukan aktiviti rentas negeri.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta rakyat Malaysia bersabar untuk melakukan aktiviti rentas negeri bagi menziarahi keluarga masing-masing.

Memetik laporan Astro Awani, menurut Khairy, pihaknya dalam peringkat akhir memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ada harapan (rentas negeri), cuma saya minta sabar sekejap," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin sukar dikawal, kerajaan laksanakan semula PKP di 6 negeri bermula Rabu

Khairy berkata demikian dalam sidang akhbar di kementeriannya di Putrajaya pada Jumaat.

Jelas Khairy, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi tujuan tersebut.

Tambahnya, terdapat beberapa negeri yang masih rendah nilai ambang vaksinasi seperti Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

"Kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan bakal mengundang risiko, berikan tempoh sikit lagi," kata Ahli Parlimen Rembau ini lagi.

Untuk rekod, kali terakhir kerajaan memberi kelonggaran rentas negeri adalah pada Disember tahun lalu sebelum larangan dikuatkuasakan semula pada 11 Januari tahun ini ekoran peningkatan kes Covid.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain