suria

Lebih 700,000 penerima BKC tiada akaun bank, PM arah agihan baucar tunai disegerakan

Orang ramai beratur bagi mendapatkan BKC di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Klang, Selangor. -foto The Star

LEBIH 700,000 penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) didapati tidak mempunyai akaun bank, menurut data Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kewangan menyediakan baucar tunai bagi memastikan bantuan diberikan kepada penerima tanpa sebarang kelewatan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Isnin memaklumkan, Ismail Sabri meminta Kementerian Kewangan agar memastikan kelancaran proses pengagihan BKC, khususnya penerima di kawasan pedalaman, jauh daripada akses perbankan dan tidak memiliki akaun bank.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik! Bantuan Khas Covid-19 untuk golongan miskin tegar, B40, M40 dan bujang dibayar bermula 6 September

"Menurut data Kementerian Kewangan Malaysia, terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC yang tidak mempunyai akaun bank.

"Justeru perdana menteri mahu baucar tunai yang disediakan Kementerian Kewangan sampai ke tangan penerima terlibat tanpa sebarang kelewatan," menurut kenyataan itu.

Ismail Sabri pada Isnin meninjau secara dalam talian proses pembayaran BKC Fasa 1 yang telah dikreditkan kepada 10 juta penerima bermula Isnin.

Pada sesi itu, perdana menteri turut berpeluang berinteraksi dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Putrajaya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Perlis dan Johor.

"Perdana menteri berharap BKC dapat meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19," menurut kenyataan itu.

Pada 1 September, perdana menteri mengumumkan BKC seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang sepatutnya diagihkan pada Ogos, akan dikreditkan kepada penerima bermula 6 September.

Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September dan dijangka selesai pada 10 September.

Ismail Sabri berkata, BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain