suria

UPKK ditangguhkan bagi calon 2020 dan 2021

Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon 2020 dan 2021 akan diadakan pada 15 hingga 18 November depan.

UJIAN Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober depan bagi calon 2020 dan 2021, ditangguhkan ke 15 hingga 18 November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan (KPM) dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin.

Menurut Idris, ia bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin selain pusat peperiksaan melakukan persiapan secukupnya.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga optimis dengan usaha kerajaan ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok dan dengan itu membuat ketetapan hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin sahaja dibenarkan untuk bertugas di semua pusat peperiksaan.

"Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan UPKK berjalan lancar dan berjaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Idris berkata, Jakim sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 di negara ini khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan serta menyediakan pelan tindakan untuk memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar dengan kerjasama semua agensi.

Beliau turut berkata, pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga dibuat mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan yang memutuskan sesi persekolahan untuk calon peperiksaan bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut perkembangan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). -SINAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain