suria

Pemandu pacuan empat roda lawan arus positif ganja

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.09 pagi di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan.

DUA remaja maut selepas kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus dalam kejadian di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan, Ahad pagi.

Siasatan awal kejadian jam kira-kira jam 2.09 pagi itu mendapati Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berkenaan datang dari arah Kuala Lumpur ke Klang secara melawan arus sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu dari Klang ke Kuala Lumpur.

Mangsa maut ialah pemandu, Nur Afiqah Abd Karim, 18, beralamat di Taman Bayu Perdana Klang dan penumpang, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, beralamat di Kelompok Camar, Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Pemandu pacuan empat roda yang memandu secara melawan arus dan merempuh kereta tersebut disahkan positif ganja.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang berumur 24 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun hubungan dua mangsa maut berusia 18 tahun dan 19 tahun itu belum dapat dipastikan.

"Setakat ini siasatan mendapati mangsa merupakan rakan dan belum dapat dipastikan ke mana tujuan sebenar mereka yang ketika itu dari arah Klang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain