suria

Mengamuk penghantaran pulang ditangguh, 21 tahanan depoh Imigresen dicekup

Hampir 400 penghuni yang terlibat dalam rusuhan kecil di Depoh Tahanan Imegresen.

SERAMAI 21 tahanan yang dikenal pasti terlibat dalam rusuhan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal telah ditahan oleh pihak polis pada Jumaat malam.

Laporan Sinar Harian menyebut, warga Filipina berusia antara 19 hingga 51 tahun itu ditahan pada jam 7.50 malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan, rusuhan kecil di Depoh Tahanan Imigresen itu melibatkan hampir 400 tahanan dipercayai akibat tidak berpuas hati kerana proses penghantaran pulang ke negara asal tertangguh.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu semua penghuni dipercayai warga Filipina hanya dapat meloloskan diri daripada lokap, namun tidak berjaya melepasi pagar lokap itu.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi), Masri Adul, berkata siasatan awal mendapati kejadian bermula dari blok yang menempatkan tahanan wanita.

Beliau berkata, sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu stres dan meminta supaya segera dihantar pulang ke negara mereka.

"Provokasi itu didengari penghuni blok tahanan lelaki terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

"Penghuni tiga blok lelaki kemudiannya berjaya merosakkan kunci mangga pintu lokap dan terus keluar ke kawasan lokap," katanya.

Masri berkata, sebaik menyedari kejadian itu pihak DTI terus menghubungi polis dan ibu pejabat Imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, sepasukan kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan Jabatan Imigresen dikerah ke lokasi kejadian.

"Kejadian rusuhan kecil itu akhirnya berjaya dikawal dan rundingan terus dijalankan oleh saya bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

"Dalam rundingan itu, kami menerangkan dengan lebih lanjut kepada penghuni mengenai situasi sebenar berhubung proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan.

"Kita menjelaskan penghantaran pulang itu ditangguhkan atas permintaan pihak kedutaan Filipina sendiri disebabkan beberapa perkara, termasuk berkaitan penularan pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, rundingan itu berlanjutan sehingga hampir sejam sebelum semua tahanan bersetuju dan kembali ke lokap masing-masing.

"Pasukan polis akan menempatkan 30 anggota di DTI ini untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan. Tiada sebarang kerosakan yang berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari semasa ke semasa," katanya. -BERITA HARIAN.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain