suria

Tak lama lagi 181 SOP yang diguna pakai selama ini akan diperkemas, dikurangkan kepada 10 sahaja

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, di Dewan Rakyat pada Selasa.

DIKEMASKINI

KERAJAAN kini sedang meneliti untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu daripada 181 SOP yang ada ketika ini, kepada hanya 10 SOP untuk diguna pakai.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi satu sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut dalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul; serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri tempoh sikit lagi” - Isu rentas negeri, Khairy minta rakyat Malaysia bersabar

"Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP.

"Langkah memperkemas SOP-SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik," katanya.

Ditanya mengenai jangka masa (timeline) untuk proses memperkemaskan SOP berkenaan, Hishammuddin berkata ia dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

Menurut Hishammuddin lagi, SOP baharu termasuk beberapa kelonggaran lain yang sedang diputuskan akan dimumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelak.

"Bagi menentukan bagaimana SOP-SOP sedia ada ini dapat diperkemaskan, kerajaan tidak hanya mengambil kira data-data sains khususnya daripada KKM, tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.

"Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa," ujarnya lagi.

Diajukan soalan sama ada kelonggaran tersebut termasuk aktiviti rentas negeri, Hishammuddin berkata perkara itu tidak mudah untuk dilaksanakan dan perlu mengambilkira risiko serta kesan yang diakibatkan daripadanya.

"Apa yang paling penting adalah risiko aktiviti yang kita akan longgarkan, risiko behubungkait dengan negeri-negeri yang ada dalam fasa-fasa tertentu dalam PPN.

"Bukan semudah itu. Kalau boleh kita nak buat secara menyeluruh tapi itu tak bertanggungjawab," ujarnya.

Namun mengulas mengenai kelonggaran untuk Gelembung Pelancongan (Travel Bubble) Projek Rintis Pulau Langkawi, Hishammuddin berkata ia dilaksanakan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat Malaysia.

"Pada dasarnya ia adalah untuk wellbeing. Tak ada kena mengena dengan ekonomi pun. Mungkin diberi kelonggaran oleh KKM kerana kesihatan dan kesejahteraan mental diambil pertimbangan. Paling penting, yang pergi tu berdisiplin dan divaksin.

"(Jika projek rintis gagal) maka kita tak akan buka untuk Gelembung Pelancongan yang lain. Saya tak akan benarkan," ujarnya lagi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain