suria

Rakyat Malaysia bakal terima dos ke-3 vaksin Covid-19 selepas capai lebih 80 peratus imunisasi dewasa

Perdana Menteri berkata dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi meningkatkan lagi perlindungan khususnya kepada golongan rentan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata keutamaan pemberian dos ketiga ini akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.

ARTIKLE BERKAITAN: Selepas berpecah dengan geng lelaki, grup gadis cuak geng anjing pula ‘escort’ ketika hiking - “Saya perasan ekor mereka goyang-goyang”

ARTIKLE BERKAITAN: Diminta mengasuh, mak saudara panik anak buah lumur slime pada rambut... hanya terfikir ‘botak’ - “Emaknya di wad tak terkejut”

Ini termasuk anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya imun (imunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Menurut Ismail, pemberian dos ketiga ini akan mula dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

"Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini," katanya.

Perincian penuh mengenai pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 ini akan diumumkan Menteri Kesihatan kelak.

Selain itu ismail turut mengumumkan peruntukan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia yang berada dalam kategori B40.

Disamping memastikan diri dan keluarga ini bebas dari jangkitan virus yang merbahaya ini, pemberian PPC ini juga bertujuan bagi meringankan beban kewangan isu rumah B40.

Pek bantuan PPC ini akan mengandungi empat pelitup muka guna semula, empat kit ujian kendiri Covid-19, satu pulse oximeter, satu termometer dan risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

"Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

"Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak, ataupun ibu dan bapa tunggal yang mempunyai anak.

"Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 3.6 juta keluarga B40," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain