suria

Kembali ke kampus bulan depan, kebajikan pelajar IPT jadi keutamaan KPT

Pelajar IPT bakal kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat bermula 15 Oktober. foto KK SHAM/The Star

KEMASUKAN semula pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula 15 Oktober depan.

Pastinya tarikh itu bakal menjadi hari yang sibuk bagi kebanyakan mereka yang terlibat, namun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa keselamatan pelajar dan staf menjadi keutamaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan beberapa inisiatif di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang dikemaskini dan lebih ketat bagi memastikan kebajikan semua yang terlibat.

Ini termasuk ujian swab RT-PCR secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan untuk pelajar yang memasuki Sabah, Sarawak dan Labuan, dan pengurangan yuran 20 peratus yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar di universiti awam (UA) bagi semester satu sesi 2021/2022 dengan nilai keseluruhan RM175 juta.

Noraini turut menggalakkan (IPT) untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada para pelajar yang kembali ke kampus, selain perlu menyediakan pusat pengasingan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan.

"Sebahagian besar keseluruhan 1.2 juta pelajar IPT telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga semester berturut-turut.

"Ini memberikan cabaran yang besar kepada warga IPT terutama dari sudut psikologi dan ketahanan mental dalam menjalani proses pendidikan.

"Justeru, dalam memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara di samping keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan, kementerian akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat, sepertimana yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika pengumuman pengoperasian IPT pada 14 September lalu.

Lengkap vaksinasi

Di bawah inisiatif kementerian iaitu #KPTPRIHATIN dan selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia, program-program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti tele-kaunseling dan pengurusan kesihatan mental diri turut disediakan.

pelajar IPT vaksin MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

Hanya warga IPT yang lengkap divaksin dibenarkan masuk ke kampus. foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Beliau menegaskan hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar, Noraini berkata, KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka bulan depan.

Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi program VACC2Campus.

Beliau berkata, KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober.

Sehingga kini, Noraini berkata, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin.

"Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian.

“Mereka boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV).

"Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar atau kad pekerja dan kad pengenalan. Bagi pelajar baharu yang masih menunggu janji temu menerusi MySejahtera, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta kad pengenalan," katanya.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Bernama

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau turut menyeru IPT supaya membuat perancangan yang teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Pergerakan pelajar

Menurutnya, pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah berdasarkan kepada dua kategori.

Mereka yang kembali ke kampus di Semenanjung, hanya memerlukan surat kebenaran daripada IPT masing-masing manakala pelajar yang memasuki Sabah, Sarawak dan Labuan tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

edudx_ach_1909_smmoheonepager 01

Noraini berkata, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran rentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani ujian swab RT-PCR.

Ujian tersebut boleh dilakukan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan.

Mengenai pengajaran dan pembelajaran (PdP), Noraini berkata, proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid, manakala bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

Beliau menambah, IPT juga mempunyai pilihan untuk mengendalikan pengajaran secara dalam talian sepenuhnya.

"Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan," katanya.

Sila rujuk infografik untuk butiran SOP.

edudx_ach_1909_smmoheonepager 01

Presiden Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Dr Parmjit Singh berkata, Noraini bekerjasama secara aktif dengan pihaknya, dalam mencari pandangan mengenai sektor pendidikan tinggi berhubung pembukaan semula kampus.

"Langkah-langkah yang diumumkan adalah wajar memandangkan jumlah jangkitan harian masih tinggi.

"Kita menyokong syarat itu sepenuhnya di mana hanya mereka yang telah lengkap divaksin dan melepasi tempoh 14 hari atau 28 hari selepas suntikan dos kedua, dibenarkan kembali ke kampus.

"Ini akan memastikan kampus-kampus terus menjadi 'gelembung' yang selamat untuk semua.

"Atas sebab itu, kita turut menyokong cadangan supaya para pelajar kembali ke kampus secara berperingkat," katanya kepada StarEdu.

edudx_ach_1909_smmoheonepager 01

Parmjit, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific University of Technology & Innovation berkata, kebanyakan IPT sudah bersedia untuk menjalankan pengajaran secara hibrid, di mana ia mungkin berterusan sehingga tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Othman A Karim berkata, meskipun universiti itu mahu aktiviti akademik kembali beroperasi sepenuhnya, namun keadaan semasa Covid-19 perlu diberikan perhatian.

"Oleh itu, SOP yang digariskan oleh menteri merupakan langkah terbaik. Kita akan mengenal pasti kursus mana mengkehendaki pelajar hadir ke kampus dan begitu juga yang mana masih boleh dilakukan sepenuhnya dalam talian.

"Kita kemudian akan melaksanakan aturan perjalanan yang diperlukan untuk pelajar yang perlu berada di kampus," katanya.

edudx_ach_1909_smmoheonepager 01

Mengenai penyediaan kit ujian kendiri Covid-19 untuk para pelajar, Othman berkata, pengurusan universiti akan membincangkan perkara tersebut.

Naib Canselor Universiti Malaysia (UM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor pula berkata, sebanyak 80 peratus pelajar yang menginap di kolej kediaman universiti akan kembali ke kampus secara fizikal bagi sesi akademik 2021/22, bermula bulan depan.

"UM menyambut baik pengumuman menteri dan menyediakan SOP khas bagi proses kemasukan semula pelajar ke kampus.

"SOP berkenaan berdasarkan tatacara pengoperasian yang diumumkan KPT dan juga selaras dengan keupayaan dan kesediaan universiti," katanya dalam satu kenyataan, pada 15 September.

Walaupun SOP ketat dilaksanakan, katanya, UM tidak melupakan kebajikan pelajar dan mengenal pasti bantuan yang dapat dihulurkan untuk memudahkan proses pulang ke kampus.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain