suria

“Saya dengar bunyi meletup-letup, dentuman kuat seperti guruh” - Penduduk Kemensah Heights imbas detik tanah runtuh, 28 keluarga diarah pindah

Bomba menerima panggilan pada jam 9.33 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 9.44 malam. Foto: Sinar Harian.

KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Jalan Kemensah Height, Ampang, Selangor pada Jumaat malam ternyata mengejutkan ramai pihak.

Dalam kejadian melibatkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah itu, kesemua mangsa selamat dan tiada yang mengalami kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut, 12 hilang dalam kejadian tanah runtuh di P.Pinang

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.33 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 9.44 malam.

"Seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, kita mendapati berlaku tanah runtuh yang telah menjejaskan belakang 19 rumah teres dua tingkat.

"Tindakan pihak bomba dan penyelamat adalah memindahkan semua mangsa dari kawasan rumah ke pusat pemindahan sementara," ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk yang terlibat, Zul Hafiz Suhaimi, 27, mengakui terdengar bunti letupan dan dentuman kuat ketika kejadian tanah runtuh berlaku.

1208345

Zul Hafiz Suhaimi merupakan salah seorang penduduk di kawasan itu,

"Saya dengar bunyi meletup-letup dan dentuman kuat seperti guruh dari belakang rumah. Apabila keluar saya lihat pokok buluh dari atas bukit telah berada betul-betul di tingkap dapur," ujarnya yang menetap di kediaman dua tingkat di kawasan itu.

Sementara itu, Suhaimi Sulaiman, 61, yang sudah hampir sedekad tinggal di kawasan itu pula berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti letupan sekitar jam 9.15 malam ketika berada di dalam bilik.

"Saya ingat anak saya sedang memasak, tiba-tiba dia berlari ketakutan ke dalam bilik.Dia kata pokok (dari atas bukit) dah jatuh betul-betul di belakang rumah sehingga boleh dicapai dengan tangan.

Tambahnya, runtuhan tanah tersebut menutup sepenuhnya laluan air sungai di belakang kediamannya itu menyebabkan air naik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, lokasi kejadian sudah ditutup dan keluarga yang terlibat diarahkan untuk berpindah.

"Bahagian Geologi dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menasihatkan penduduk yang terlibat supaya berpindah.

"Penduduk bebas untuk berpindah kemana sahaja, bagaimanapun MPAJ juga telah menyediakan dua lokasi sementara untuk penduduk yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada awal pagi Sabtu. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain