USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Nur Sajat telah ditahan pihak berkuasa Thailand pada 8 September lalu dan polis kini dalam proses melengkapkan segala dokumen bagi membawanya pulang ke tanah air. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam usaha membawa pulang Nur Sajat mengikut undang-undang negara dan antarabangsa. "Nur Sajat telah ditahan dan dituduh di bawah Akta Imigresen di Thailand tetapi dia telah memohon taraf pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) di Thailand. "Seperti mana yang dinyatakan oleh bekas ketua polis terdahulu, kes Nur Sajat ini bukan kes besar. Jadi kita nasihatkan dia untuk pulang dan menghadapi kes beliau," katanya kepada media dalam sidang akhbar pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh dakwaan Sajat lolos ke Thailand guna kereta api, ini jawab KTMB Pada Isnin usahawan kosmetik itu dilaporkan ditahan pihak berkuasa tempatan di Bangkok, Thailand kerana memiliki pasport yang tidak sah. Nur Sajat dikehendaki di Malaysia kerana menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan mereka daripada menjalankan tugas. Satu waran tangkap turut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lepas selepas usahawan kosmetik itu gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya. -SH Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI