KERAJAAN bersetuju untuk membenarkan aktiviti rentas negeri, namun ia hanya akan berkuatkuasa apabila kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara itu merupakan antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, pada Rabu. Untuk rekod, setakat Selasa (21 September), Malaysia telah mencapai kadar 80 peratus populasi penduduk dewasa yang lengkap menerima imunisasi Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: Rentas negeri akan dipertimbang hujung Oktober – Hishammuddin Selain itu, terdapat beberapa kelonggaran yang bakal dilaksanakan melibatkan premis pelancongan dan operasi perniagaan melibatkan pelbagai sektor. "Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab," katanya dalam kenyataan berkenaan. Antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah: 1) Kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa 23 September 2021. 2) Membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM. 3) Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021. 4) Premis pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pengunjung lengkap divaksin. 5) Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin. 6) Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma. 7) Kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi Negeri Sembilan (Fasa 3 kepada Fasa 4), Pahang (Fasa 2 kepada Fasa 3) dan Johor (Fasa 1 kepada Fasa 2) berkuatkuasa 24 September ini. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI