suria

Kebenaran rentas negeri dijangka pertengahan Oktober - Muhyiddin

Kebenaran rentas negeri dijangka selewat-lewatnya pertengahan Oktober. - gambar hiasan

DIKEMASKINI

AKTIVITI rentas negeri dijangka dibenarkan pada separuh pertama Oktober ini, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPN pada Isnin, yang melibatkan beberapa menteri Kabinet.

"Dimaklumkan tadi bahawa rentas negeri akan dibenarkan, sama ada awal Oktober atau selewat-lewatnya pertengahan bulan.

"Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana seluruh Malaysia ini tetapi sentiasa ingat tentang SOP (prosedur operasi standard)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPN di Putrajaya, pada Isnin.

Muhyiddin berkata, MPN turut membincangkan mengenai pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong dan pengembara perniagaan.

"Pembukaan semula sempadan negara juga dibincangkan. Perkara ini akan dibincangkan lanjut oleh menteri-menteri yang terlibat pada minggu ini.

"Mereka akan meneliti sama ada membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi ke luar negara. Pada masa sama, ia juga akan membincangkan sama ada membenarkan pelancong dan pengembara perniagaan datang ke negara kita.

"Saya percaya ia akan membawa kesan besar kepada negara," kata Muhyiddin sambil menambah perkara itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain