WANITA yang pernah menggemparkan negara kerana mendakwa dirinya mampu berhubung dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad, mengisytiharkan dirinya bertaubat (Istitabah) secara terbuka pada Isnin. Sittah Annur yang juga Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), membuat pengisytiharan itu di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. "Dengan ini saya bertaubat kembali ke pangkal jalan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar. Saya insaf bahawa tiada jalan pintas ke syurga melainkan dengan keyakinan akidah Islam...," katanya. Dia turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan mengakui semua perbuatan yang menyalahi hukum agama Islam dan yang melanggar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pengisytiharan taubat (Istitabah) Sittah turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Pada 4 September lalu, Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar, 39, ditahan polis sekitar jam 1.10 pagi berhubung penglibatannya dalam ajaran sesat tersebut. Masitah sebelum ini mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan buat umat manusia. Dia turut mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan, kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!