PEMUDA Umno menggesa kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AG) untuk memberikan penjelasan secara telus dan terbuka mengenai perkembangan terkini siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. Ia susulan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara. Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan. ARTIKEL BERKAITAN: Tampil jika ada maklumat berkaitan Adib - Zuraida ARTIKEL BERKAITAN: Adib beritahu saya dia dipukul - Pembantu Pegawai IJN "Pemuda Umno telah meneliti kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini di sebuah majlis di Ampang bahawa kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib ditutup sementara. "Menurut laporan media, Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata kes ini akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk 'terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib'," katanya dalam satu kenyataan di halaman Facebook milik beliau, pada Rabu. Sabtu lalu, Zuraida dilaporkan sebagai berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu. Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut meminta kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada Allahyarham Muhammad Adib selaku wira negara selain bayaran pampasan yang munasabah kepada pihak keluarga sebagai satu bentuk penghormatan atas jasa dan pengorbanannya melaksanakan amanah negara hingga mengorbankan nyawa. Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam satu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 2018. Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN). Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI