suria

UMS memahami dan melindungi lautan, bakal jadi pusat penyelidikan Sains Marin dan Akuakultur terkemuka dunia menerusi IPMB

IPMB memberi fokus kepada perkembangan pengetahuan berkaitan biodiversiti laut, mempamerkan kepelbagaian hidupan laut menerusi Akuarium dan Muzium Laut UMS, menghubungkan pemuliharaan dengan isu keselamatan makanan laut yang dihadapi negara kita dan menyumbang idea untuk menangani perubahan iklim.

ROBERT Wyland, seorang artis dan aktivis alam sekitar dari Amerika pernah berkata, “lautan membangkitkan hati, memberi inspirasi kepada imaginasi dan memberi kegembiraan yang abadi kepada jiwa.”

Memang benar, manusia selalunya sangat teruja dengan lautan. Para penulis menggunakannya sebagai gambaran pemandangan di dalam penulisan novel atau filem, pelukis pula mencoretkan pelbagai versi lautan yang berbeza di atas kanvas manakala ramai juga memilih pantai sebagai destinasi percutian mereka.

Bagaimanapun, fungsi sebenar laut masih kurang diberi perhatian. Sebagai contoh, lautan menghasilkan lebih dari separuh oksigen di dunia, mengatur pola iklim dan cuaca bumi, di samping memberi banyak manfaat lain seperti dari segi ekonomi, makanan, rekreasi dan perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rim ‘makan’ baju pinjam! Tak jadi nak bergaya pergi cucuk vaksin, pelajar malu baju koyak tengah jalan - “Kakak tanya kenapa motor jadi slow?”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sangat melukakan hati’ terpaksa rawat haiwan peliharaan berdepan komplikasi gara-gara wujud doktor palsu, pemilik nak berjimat

Kita sering diberitahu tentang bahaya yang bakal dihadapi sekiranya kita tidak menjaga lautan. Media arus perdana dan media sosial menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu yang dihadapi melibatkan lautan seperti sampah plastik dan peningkatan suhu lautan.

Malah, sebelum isu ini menjadi perhatian di media, Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlebih dahulu menyedari peranan penting persekitaran laut kepada kehidupan seharian dan mereka telah menubuhkan satu unit penyelidikan khusus dalam bidang Sains Marin dan Akuakultur pada tahun 1995.

Pada tahun 2000, ia dinaik taraf menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan yang dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB).

Berpegang teguh kepada tema Pemuliharaan dan Pembangunan Mampan Sumber Marin, IPMB amat berdedikasi ke atas program ini yang memberi fokus kepada perkembangan pengetahuan berkaitan biodiversiti laut, mempamerkan kepelbagaian hidupan laut menerusi Akuarium dan Muzium Laut UMS, menghubungkan pemuliharaan dengan isu keselamatan makanan laut yang dihadapi negara kita dan menyumbang idea untuk menangani perubahan iklim.

Eksplorasi melihat batu karang di Pulau Mantanani yang sangat jernih. Eksplorasi ini diadakan ketika ekspedisi Sabah Park, Reef Check Malaysia dan agensi lain bagi tujuan mewartakan kawasan tersebut sebagai taman marin.

Memperjuangkan konsep Quadruple Helix dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan oleh IPMB telah memperkukuhkan hubungan di antara kerajaan, para akademia, pemain industri, dan masyarakat, dalam apa yang dikenali sebagai penyelidikan terjemahan (translational research).

Antara inisiatif penyelidikan IPMB adalah; pembiakan ketam bakau, udang, kerang dan timun laut selain spesies air tawar yang harganya berpatutan; formulasi makanan untuk ikan dan krustasea dari sumber lestari; reka bentuk modul penternakan komersial spesies ikan dan krustasea; pembangunan model akuakultur yang telah digunapakai perusahaan kecil dan sederhana dan penggunaan sistem makanan bandar sebagai tindak balas terhadap masalah keselamatan makanan yang dihadapi semasa pandemik Covid-19.

Salah satu penyelidikan penting IPMB yang dijalankan dengan sokongan KPT adalah penyelidikan perintis bagi pengeluaran kerapu hibrid yang cepat matang, bagi meningkatkan industri akuakultur di negara dan rantau ini.



Salah satu penyelidikan penting IPMB adalah penyelidikan perintis bagi pengeluaran kerapu hibrid yang cepat matang.

Kerapu hibrid ciptaan IPMB ini terkenal dalam kalangan pakar akuakultur dan penggemar makanan laut sehingga menyebabkan nilai komersialnya tinggi.

Penternak ikan mendapat manfaat daripada penyelidikan ini dan kini mereka boleh menternak ikan kerapu dan menjualnya pada kadar yang lebih cepat. Kerapu hibrid ini telah menguasai industri makanan laut dan menjadi ikan paling popular di pasar ikan.



Prof Madya Dr Faihanna Ching dan Sari Asfarina Sariat memeriksa kesihatan ikan kerapu untuk menghasilkan satu praktis akualutur yang praktikal dan terbaik.

Matlamat IPMB adalah untuk mempercepatkan kemajuan dalam bidang yang menjadi tumpuannya bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari United Nation (United Nation’s Sustainable Development Goals), Ocean Science Decade for Sustainable Development dan Decade for Ecosystem Restoration, menjelang tahun 2030.

IPMB juga membayangkan projek-projeknya akan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan, alatan mesin pembelajaran dan model inovatif berdasarkan biomimikri dan kejuruteraan eko.

Dengan menggunakan teknologi IR4.0 ini akan membantu pertumbuhan dan perindustrian akuakultur di samping menyumbang kepada kebolehpasaran graduannya.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga telah mengunjungi Pusat Penetasan Ikan IPMB pada Ogos 2020.

Beliau memuji inisiatif institut ini dalam mencapai peralihan 7 bagi Inovasi Ekosistem dan peralihan 8 bagi Global Prominance, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Beliau turut menyatakan persetujuannya dan menantikan pelaksanaan rancangan masa depan institut ini.

IPMB, dengan sokongan berterusan Naib Canselor UMS dan KPT menuju ke arah menjadi sebuah institusi penyelidikan terkemuka di dunia dalam bidang Sains Marin dan Akuakultur.

Fokusnya untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi, latihan dan program outreach yang menyumbang kepada pengurusan rasional, penggunaan dan pembangunan sumber laut yang lestari untuk kesejahteraan sosio-ekonomi negara.

Lautan mempunyai potensi besar - ada di antaranya yang masih belum ditemui. Oleh itu, usaha berterusan untuk memahaminya perlu digalakkan. Apabila kita melindungi lautan, kita melindungi masa depan kita.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain