KERAJAAN tidak mewajibkan suntikan dos penggalak (booster) vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, suntikan dos ketiga berkenaan amat digalakkan dan akan ditawarkan terutamanya bagi kumpulan tertentu yang berisiko tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia bakal terima dos ke-3 vaksin Covid-19 selepas capai lebih 80 peratus imunisasi dewasa "Kita akan offer kepada kumpulan yang kita rasa layak untuk mendapatkannya tapi ia bukan wajib atau mandatori. "Kita akan tawarkan kepada kumpulan tertentu bermula seperti warga emas, mereka yang ada komorbiditi, petugas kesihatan barisan hadapan dan mereka yang immunosuppressed (mempunyai sistem imun lemah). "Kita tak akan paksa tapi amat galakkan," katanya dalam sidang media pada petang Khamis. Khairy berkata mereka yang berhasrat untuk mendapatkan dos tersebut agar tampil menerima suntikan dalam jangka masa enam bulan selepas suntikan kedua. Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan status mereka yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum ini tidak akan terjejas walaupun tidak mengambil dos penggalak. "Dos penggalak atau tak ambil dos penggalak, ia tak akan menjejaskan status anda sebagai individu yang lengkap divaksin," jelasnya. Sementara itu Khairy juga menambah, individu yang tercicir dan berhasrat untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 agar membuat tempahan menerusi aplikasi MySejahtera. "Saya faham ada yang hubungi klinik kesihatan tapi tak jawab dan sebagainya. Kita akan ada satu ciri dalam 'Helpdesk' untuk mereka yang belum lagi divaksin. Buat tempahan di situ dan akan dapat temujanji melalui MySejahtera," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI