suria

Inspirasi, semangat di sebalik pandemik Covid-19! Saksikan 3 video terbaik Hari Kebangsaan tahun ini

Tiga video terbaik yang meraih undian tertinggi oleh rakyat Malaysia adalah daripada Shopee, TNB dan Petronas.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini turut dimeriahkan dengan program pencarian video Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Star Media Group (SMG).

Menurut Ketua Pegawai Bisnes SMG, Lydia Wang Chen Choo, video Hari Kebangsaan tahun ini bukan sahaja memberi kegembiraan buat rakyat negara Malaysia, malah turut menyebarkan aura positif dalam tempoh sukar yang dilalui bersama.

"Tahun ini kita menyaksikan iklan-iklan Hari Kebangsaan yang luar biasa yang bukan sahaja membawa kegembiraan kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh yang mencabar tetapi juga menyebarkan semangat positif dan harapan, mengingatkan kita bahawa kita dapat mengatasi kesukaran jika kita bersatu.

"Sebagai media, kami memberi sokongan terhadap jenama-jenama dengan menyediakan platform untuk mereka berhubung dengan rakyat di seluruh negara. Dengan itu, ia dapat menyentuh hati banyak pihak dengan cara yang memberi inspirasi untuk kita semua terus maju bersama.

"Kami berharap kempen ini menaikkan semangat bangsa dan mengembalikan harapan serta keyakinan dalam usaha untuk pulih daripada wabak Covid-19.

"Terima kasih kepada jenama terlibat dan rakyat Malaysia yang turut serta dalam kempen kami. Kami tidak akan berjaya tanpa anda," ujarnya.

Untuk rekod, pengundian selama dua minggu untuk kempen ini bermula pada 31 Ogos sehingga 16 September, melibatkan tayangan 33 video penuh inspirasi daripada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

TNB The star competition-1280x720

Video TNB mengungguli Top 3 undian kali ini.

Hasil 9,500 undian yang diterima sepanjang tempoh kempen, rakyat Malaysia telah memilih tiga video terbaik yang diterbitkan oleh Shopee, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas.

TNB yang meraih undian paling tinggi ternyata gembira dengan pencapaian itu, sekali gus membuktikan jalinan emosi yang wujud dengan penonton sejak sekian lama.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma, ia merupakan kemenangan hatrik apabila syarikat itu turut mengungguli undian menerusi kempen untuk Hari Raya dan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan sebelum ini.

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi atas sokongan berterusan mereka.

"Filem berunsurkan perayaan mempunyai ruang yang unik untuk membuka cerita-cerita yang menyentuh hati dan bermakna. Ini juga merupakan jalan bagi kami untuk berkongsi nilai-nilai yang ditegakkan dalam syarikat.

"Pengiktirafan ini akan mendorong kami untuk terus menghasilkan filem yang sesuai untuk menyampaikan mesej positif dengan harapan dapat menjadikan kehidupan lebih baik dan lebih cerah," ujarnya.

Tambah Shukreen, rasional di sebalik penghasilan video itu dipacu daripada kata-kata 'Better World Brighter Lives' demi memupuk semangat positif dalam apa jua yang dilakukan mereka.

"Filem Merdeka ini mencerminkan salah satu nilai asas kami iaitu mindfulness atau kesedaran, kerana ia menyorot bagaimana rakyat Malaysia mempunyai kuasa untuk berdepan kesukaran dalam menerangi kehidupan orang lain semasa wabak tersebut.

"Melalui pendekatan yang menyentuh sanubari, kami berkongsi kisah-kisah inspirasi rakyat Malaysia yang baik hati dan pemurah dengan semangat di mana walaupun dalam keadaan yang mencabar, mereka masih mengerah kekuatan tenaga demi kebaikan, mengatasi cabaran untuk menolong orang lain.

"Kami berharap dapat meraikan aura positif sesama rakyat Malaysia yang menjadikan hidup lebih baik dan bermakna, dan memberi inspirasi kepada kita melalui kepimpinan melalui teladan dan terus bersikap positif untuk orang sekeliling kita," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz turut berbesar hati apabila video 'Demi Cinta' mengungguli Top 3 dalam undian yang dijalankan.

"Ia adalah satu keraian di sebalik cabaran ekstrem yang dilalui akibat Covid-19. Ia meraikan orang yang mengenepikan perbezaan dan bersama-sama menghulurkan bantuan sesama rakyat demi Malaysia

"Kami berbesar hati apabila video yang dihasilkan merupakan tiga video yang meraih jumlah tontonan tertinggi di The Star. Terima kasih kerana memilih ‘Demi Cinta’, kami berharap video muzik ini memberi anda kegembiraan dan harapan untuk hari esok yang lebih baik," ujarnya lagi.

Shopee yang tampil dengan video berjudul Cerita Orang Kita ternyata berbesar hati apabila mereka terpilih menduduki Top 3 dalam undian berkenaan.

Menurut pihak Shopee, video itu menzahirkan mesej mengenai pemerkasaan, ketabahan dan penyatuan dalam tempoh sukar sepanjang pandemik melanda.

Petronas 1280x720_Thumbnail

Video oleh Petronas turut mencuri perhatian ramai sepanjang dua minggu undian dijalankan.

"Kami menyasarkan untuk meniup semangat 'Malaysia Boleh' yang terus memacu rakyat negara ini ke hadapan dengan perkongsian kisah kejayaan individu yang memberi inspirasi.

"Kami berharap kisah-kisah yang dipaparkan dapat memberi ingatan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai kekuatan untuk mencapai apa sahaja yang kita mahukan," ujar Shopee dalam satu kenyataan.

Selain Shopee, TNB dan Petronas, tujuh lagi video turut mengungguli undian Top 10 iaitu Sunway Education Group, Digi, Boustead Properties Berhad, WONDA, Taylor's University, Delima Oil/Saji dan EcoWorld.

Anda boleh menonton video penuh di https://sites.thestar.com.my/nationaldayvideos2021/.

Akhir kata, Star Media Group mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menjayakan kempen pengundian video ini dan menjanjikan lebih banyak usaha untuk meningkatkan semangat muhibah dan keceriaan pada masa akan datang.

Nantikan pencarian baharu Star Media Group yang akan datang untuk iklan Tahun Baru Cina yang paling menarik pada tahun 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain