suria

Salah guna emel KPM, mengorat pelajar perempuan... beberapa guru kongsi pengalaman diganggu Zoom Raiders - “Saya panik terus off kelas"

Sesi PDPR murid-murid kini diancam sekumpulan murid-murid lain yang menggelar diri mereka Zoom Raiders yang aktif membuat kacau.

"MEREKA guna gambar lucah, buat bising dengan gelak dan menyanyi kuat-kuat, jadi saya terpaksa off kelas."

Itu senario yang menimpa seorang guru, Ahmad Firdaus Din, 49, apabila sesi pengajaran secara dalam taliannya dua hari lepas (12 Oktober) diganggu sekumpulan pihak luar.

Menggelar diri mereka "Zoom Raiders" kumpulan ini giat berkongsi link sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlangsung sebelum menceroboh ke kelas terbabit bagi tujuan membuat kacau.

ARTIKEL BERKENAAN : Sesi PdPR diceroboh kumpulan pengacau... kongsi foto tak senonoh, buat bising! Benarkah kelas online dah tak selamat?

Bercakap kepada mStar, Ahmad Firdaus yang mengajar di sebuah sekolah di utara tanah air berkata, kelas subjek Sejarah yang dikendalikannya telah diceroboh sekitar 10 ke 20 orang pelajar luar.

"Setiap kelas Google Meet saya akan approved sesiapa yang nak join tapi pada hari kejadian bila nak approved saya rasa pelik sebab murid-murid yang join tu gunakan nama samaran pelik-pelik tapi emel yang mereka gunakan tu emel Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Malam tadi saya gabungkan dua kelas dalam Google Meet jadi bila mereka join serentak dengan murid-murid saya, saya ingat mereka murid-murid saya la, jadi saya tekan "accept all" tak sangka pula dalam tu ada geng Zoom Raiders ni.

"Mereka menggunakan profile picture lucah, buat bising, gelak dengan kuat, menyanyi kuat-kuat, saya panik jadi terus off kelas saya dan create link yang baru," kongsinya.



Tangkap layar group Telegram Zoom Raiders yang aktif membuat kacau kini.

Menurut Ahmad Firdaus dia tidak sempat mengambil screenshot atau merakam kejadian terbabit sebagai bukti.

Namun jelasnya, ketika kejadian kelasnya baru sahaja bermula.

“Masa tu kelas saya baru bermula, saya tengah tunggu murid saya untuk join.

“Saya tak nampak wajah mereka yang ceroboh masuk sebab mereka cuma on microphone sahaja tapi saya yakin mereka pelajar tempatan sebab mereka menggunakan email KPM yang mana berakhir dengan @moe-dl.ed.my dan hanya pelajar ada email tersebut,” katanya yang mengajar pelajar tingkatan lima.

Ahmad Firdaus juga tidak menolak kemungkinan ada pelajarnya yang kongsi link kelasnya ke dalam salah satu group Zoom Raiders ini.

"Semua guru perlu berhati-hati, pastikan hanya emel tertentu sahaja yang join kelas Google Meet mereka.

"Kepada ibu bapa pula, pantaulah anak-anak supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan buli siber ini," nasihatnya.

Sementara itu seorang lagi guru yang Hisyam Harun, 31 berkata, dia sedang mengajar murid-muridnya apabila seorang 'pelajar' merampas sesi presentation tersebut serta memainkan iklan Shopee.

"Kejadian berlaku kelmarin (12 Oktober) semasa kelas Google Meet pukul 11 pagi, saya sedang mengajar murid-murid saya tiba-tiba ada seorang murid ni dia share screen iklan Shopee jadi tiba-tiba kelas tu menjadi bising dengan lagu Shopee yang tiba-tiba keluar.

"Setiap kali murid present dekat Google Meet akan keluar nama dan waktu tu nama murid yang keluar tu bukanlah murid saya.

"Bila di suruh berhenti share screen dan saya tanya siapa dia, dia tak response malah dia biar sahaja iklan tersebut terus mengganggu sesi PdPR," katanya.

244469308_196423519272282_5056795965024952763_n

Pelajar yang membuat gangguan terbabit menyiarkan iklan Shopee.

Selain pelajar terbabit, beberapa pelajar lain turut mengganggu sesi PdPR dengan menghantar komen lucah serta mengajak anak muridnya berkenalan.

"Rasanya mereka ni lelaki sebab mereka komen lucah kemudian ajak anak murid saya berkenalan, mintak nombor telefon.

"Dari situ baru saya sedar mereka ni mesti budak-budak yang viral (Zoom Raiders) tu sebab saya ada terbaca mengenai guru-guru lain yang diganggu di Facebook dan Twitter," jelasnya.



Mereka turut menghantar mesej lucah serta mengganggu pelajar lain.

Menurut Hisyam walaupun dia mengeluarkan pelajar terbabit dari sesi terbabit, mereka tetap boleh masuk semula memandangkan mereka menggunakan emel yang disediakan KPM untuk setiap pelajar.

"Oleh sebab host create link tu menggunakan emel KPM jadi sesiapa sahaja yang guna emel yang sama akan auto admit (masuk), tapi mereka yang guna email biasa, host perlu beri kebenaran baru mereka boleh masuk dalam sesi terbabit.

"Jumlah pelajar kelas saya 24 orang tapi semalam yang masuk ada 29 orang maknanya lima orang terlebih, saya dah cuba kick mereka keluar tapi sebab email mereka emel KPM mereka akan auto admit semula.

"Jadi saya terpaksa end class dan create link baru," katanya yang mengajar sejarah tingkatan empat.

Menurut Hisyam dia akan menggunakan emelnya sendiri sebagai hos serta serta memastikan setiap pelajar semak sebelum diberi kebenaran untuk menyertai kelas pada masa akan datang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain