suria

Sesi PdPR diceroboh kumpulan pengacau... kongsi foto tak senonoh, buat bising! Benarkah kelas online dah tak selamat?

Sesi PdPR, mesyuarat dan ceramah awam kini dikatakan sering dicerobohi oleh ahli-ahli dari kumpulan Zoom Raiders.-Gambar hiasan

SESI pengajaran dan pembelajaran (PDPR) murid-murid secara dalam talian kini didakwa diancam oleh ahli dari kumpulan penceroboh yang bukan sahaja akan mengganggu sesi tersebut, malah ada yang mengambil alih sidang maya yang sedang berlangsung.

Perkara tersebut didedahkan seorang ibu kepada wartawan mStar.

ARTIKEL BERKENAAN : Kanak-kanak autistik maut ditinggalkan 3 jam dalam van, pemandu ditahan

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Afifah, 42, berkata, gangguan tersebut berlaku pada hari Khamis lalu ketika anaknya yang berusia 11 tahun sedang mengikuti kelas Lughah Al-Quran secara online.

"Saya tak ada di depan komputer anak, tapi melalui maklumat yang dikongsikan dengan saya, dia sedang mengikuti kelas Lughah Al-Quran dan lebih kurang satu jam selepas kelas bermula tiba-tiba Google Meet kelasnya dimasuki 'orang luar'.

"Mereka kongsi screen masing-masing tunjuk macam-macam, ada yang buat bising ada yang letak gambar tak senonoh dan ada yang menari.

"Kemudian seorang demi seorang murid dalam kelas berkenaan dikeluarkan, tak pasti sama ada oleh ustaz atau ustazah kelas atau penceroboh terbabit, tapi kelas yang sepatutnya berlangsung selama dua jam akhirnya terpaksa dibatalkan," kongsi Afifah yang menetap di Puchong, Selangor.



Grup ini mempunyai lebih 3,000 ahli.

Afifah yang bertugas sebagai seorang jurutera berkata, anaknya mendakwa bahawa individu yang menceroboh sesi PdPR tersebut terdiri daripada individu pelbagai bangsa.

"Saya tak pasti dia nampak wajah mereka atau tak, tapi dia cakap pelbagai bangsa yang masuk raid kelas, mungkin dia hanya mengagak melalui nama yang digunakan mereka untuk masuk ke kelas tu," jelasnya.

Sementara itu, semakan mStar di platfrom Telegram menemui beberapa grup dengan nama 'Zoom Raiders' (penceroboh Zoom) yang mempunyai ribuan pengikut.

Menerusi grup tersebut, mereka dilihat saling berkongsi pautan (link), nama pengguna (username) serta kata laluan (password) pelbagai sesi PDPR, dipercayai dengan niat untuk membuat kacau ketika sesi sedang berlangsung.



Antara grup lain yang turut aktif berkongsi link sesi PdPR yang berlangsung.

Malah, lebih mengejutkan apabila terdapat juga grup yang ahli-ahlinya bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, tetapi juga warga asing.

Ini dapat dikenal pasti berdasarkan link sesi luar negara yang dihantar seperti di Mumbai, India serta penggunaan bahasa tempatan masing-masing ketika berdiskusi sesama mereka dalam kumpulan tersebut.



Zoom Raiders yang ahlinya terdiri daripada individu dari beberapa negara berbeza.

Menurut Afifah, selain sesi PdPR, kumpulan pengacau ini dipercayai turut mengganggu beberapa sesi mesyuarat korporat serta ceramah awam yang dijalankan secara dalam talian.

Afifah berpandangan, guru dan pihak sekolah kini seharusnya lebih berhati-hati serta memastikan link Google Meet atau Zoom yang dihantar kepada murid-murid dilengkapi ciri-ciri yang lebih selamat.

"Niat saya berkongsi isu ini supaya kita semua boleh memantau anak-anak kita dan memastikan mereka tidak terjebak dengan aktiviti sebegini.

"Dalam masa yang sama, saya rasa mungkin kita perlu beri pendedahan kepada guru-guru untuk memastikan link Google Meet dan Zoom mereka lebih secure, sebab kemungkinan ada ramai guru yang kurang arif mengenai penggunaan aplikasi ini," katanya.

mStar sedang mendapatkan komen daripada beberapa pihak berkaitan isu ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain