SEORANG penganggur ditahan setelah memecahkan cermin 12 kereta yang diletakkan di sebuah lot parkir di hadapan Public Bank, Jalan Sultan Abdul Samad, Banting di Selangor pada pagi Selasa. Klip video berdurasi 11 saat yang tular di media sosial memaparkan lelaki berusia 39 tahun tersebut menghayun sebatang besi ke arah cermin bahagian depan salah sebuah kereta terbabit. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek dipercayai mengalami tekanan emosi. ARTIKEL BERKAITAN: 870,000 individu hilang kerja dibayar BKP mulai esok "Pemilik kenderaan melihat seorang lelaki memegang sebatang besi dianggarkan sepanjang satu meter telah memecahkan tingkap cermin hadapan kereta miliknya. Suspek kemudian beralih ke kereta lain dan melakukan perbuatan sama. "Semakan awal mendapati suspek pernah dirawat sebagai pesakit mental tetapi sudah lama tidak menerima rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Ahmad Ridhwan berkata, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah. "Bagaimanapun ujian saringan awal air kencing didapati negatif," ujarnya. Menurutnya, suspek ditahan oleh anggota polis bersama senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. "Setakat ini polis menerima lima laporan daripada pemilik kereta yang mengalami kerugian daripada kejadian tersebut. "Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya. -SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI